Pengikut

AGUS SALIM VS UMNO

UCAPAN ANWAR DI TUARAN 29/7/2012

JALAN RAYA DI SABAH

INI KALILAH !!

KALAU BUKAN KITA SIAPA ? KALAU BUKAN SEKARANG BILA ?

Video tembak-menembak di Lahad Datu

Khamis, 22 November 2012

PAS HENTIKANLAH DAKWAH DAP TENTANG HUDUD

Sumber : Siasah Daily
 
Dalam satu tindakan yang dilihat sebagai usaha menunjukkan satu bentuk kejayaan dalam kerjasama dengan sekutu Pakatan Rakyat, PAS telah beberapa kali mendakwa DAP telah mula lunak terhadap pelaksanaan hukum hudud.

Terkini, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib ketika muktamar parti di Kota Bharu, Kelantan membuat dakwaan yang hampir sama, dan segera disusuli penafian oleh Karpal Singh, veteran DAP yang berpengaruh.

Sebelum itu, Ketua Pemuda Nasrudin Hassan dalam sebuah forum mengatakan bahawa Karpal telah mula menerima hudud, walaupun hebat menentangnya sebelum itu.

Dakwaan Nasrudin itu merujuk kepada kenyataan Karpal di sebuah Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada Disember, 2010, yang sering dibaca PAS sebagai bukti bahawa Karpal yang pernah membuat kenyataan ofensif berhubung hudud itu telah mula lunak terhadap hukum tersebut.

Hakikatnya, Karpal dalam ucapan di konvensyen itu tidak menyatakan dengan jelas penerimaan DAP terhadap hudud, tetapi sekadar menyampaikan mesej sedia berkompromi demi kerjasama dalam hal dipersetujui bersama, yang disampaikan dengan tidak menyebut sebarang komitmen secara jelas.

Pakatan bersama PAS, DAP dan PKR telah bersetuju meletakkan dokumen dikenali Buku JIngga sebagai dasar bersama, yang tidak meliputi hukum hudud.

Secara bersama, PR tidak dapat dilihat menerima sebarang dasar Islam lebih daripada apa yang sedia terlaksana, kerana perlaksanaan Islam seperti yang diperjuangkan PAS tidak diterima sebagai agenda bersama, disebabkan sifat Buku Jingga yang sekular.

Kerjasama parti-parti PR juga dihadkan oleh ideologi berbeza setiap parti, dan ideologi DAP sama sekali tidak akan menerima hudud, kecuali sekiranya terjadi keperluan realpolitik untuk mengubah pendirian secara drastik.

DAP memperjuangkan Malaysia yang sekular, dan tidak keterlaluan apabila mengatakan parti ini memegang ideal negara yang lebih sekular daripada yang ada pada hari ini.

Ini disebabkan oleh ideologi parti dan juga konstituensinya yang paling utama ialah masyarakat bukan Melayu.

Sejarah telah menunjukkan DAP memberi respons segera kepada suara konstituensinya, terkini semasa memutuskan hubungan dalam kerjasama dengan Semangat 46 yang mempunyai hubungan dengan PAS dan selepas itu selepas pertikaian semasa dalam Barisan Alternatif.

Isu utama yang mendorong tindakan DAP meninggalkan pakatan-pakatan tersebut ialah hukum hudud yang dibawa PAS.

PAS, selain tersilap baca kenyataan Karpal itu, juga didorong oleh persaingannya dengan Umno.
PAS mengaitkan sebarang tindakan sekutu Umno, seperti MCA dan Gerakan yang salah faham atau bersangka buruk terhadap Islam dengan kegagalan Umno "mendidik" parti terbabit.

Hampir setiap kali pemimpin MCA membuat kenyataan yang mengkritik atau menghina Islam, hujah yang biasa diberikan ialah kegagalan Umno yang telah bersekutu dengan parti tersebut lebih 50 tahun untuk memberi penerangan tentang Islam.

PAS mahu menunjukkan yang ia berjaya memberi penerangan atau mempengaruhi sekutu dalam PR, lalu memberi gambaran bahawa Islam, termasuk hukum hudud, semakin diterima oleh sekutunya.

Hal ini ditegaskan untuk menunjukkan yang PAS lebih berjaya dalam memperjuangkan Islam berbanding Umno, dan kerjasama PAS dengan sekutu politik mempunyai dasar yang lebih murni berbanding kerjasama Umno dan sekutu Barisan Nasional.

Tindakan PAS memberi gambaran DAP menerima hudud sebenarnya meningkatkan dan menyebarkan salah faham dalam kalangan ahli, dan seperti dilihat selama ini, hanya sekadar mampu mencetuskan pertikaian yang mudah dieksploit oleh seteru politik.

PAS sewajarnya lebih memahami dan menginsafi realiti politik pakatan yang disertainya bersama parti-parti berbeza ideologi, dan tidak memberi gambaran salah yang tidak membantu perjuangannya dan memperbaiki hubungan dengan parti-parti sekutu.

Ahad, 4 November 2012

JIKA HADI BERANI TENTANG NAJIB,SALAHUDDIN SEDIA TENTANG MB JOHOR


Sumber : Malaysia Today
(Sinar Harian) - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub tidak menolak kemungkinan akan bertanding bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Serom pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), yang kini disandang Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman. Menurutnya, beliau kini bersedia untuk menentang pemimpin nombor satu di negeri ini sekiranya pucuk pimpinan parti mengarahkannya untuk bertanding di Dun berkenaan.

“Siapa pun di dalam parti tidak kira memegang jawatan Presiden atau sebagainya perlu ikut arahan diberikan.

“Sebab itu bila parti mengarahkan saya untuk pulang ke Johor dan bertanding di sini, saya patuh dan meninggalkan Kelantan.

“Jika parti arah saya untuk lawan Menteri Besar di Dun Serom, saya akan patuh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejutan dan kesediaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada PRU13, yang kini disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

Salahuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kesediaannya untuk bertanding di Dun Serom itu selari dengan nada yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Marang (Abdul Hadi).

“Saya akan patuh seperti mana Presiden Pas sendiri. Ia akan berlaku sekiranya parti memutuskan ia kelak,” katanya.

Ditanya persiapan jentera parti sekiranya beliau bertanding di Dun Serom, beliau berkata, semua jentera Pas di negeri ini sudah bersedia untuk memastikan kemenangan Pas dan calon-calon pakatan pembangkang di setiap kerusi yang ditandingi.

“Jentera tidak mempunyai masalah. Jika pemimpin (calon) sendiri sudah bersedia untuk berkorban, jentera Pas juga akan berjuang seperti mana dilakukan sebelum ini.

“Mereka (jentera) sentiasa taat dan patuh kepada parti serta kepimpinan,” katanya.
Selain itu, Salahuddin berkata, pembahagian kerusi dalam kalangan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini sudah 95 peratus selesai sekali gus tidak timbul dakwaan berlakunya masalah berhubung perkara berkenaan.

Khamis, 1 November 2012

TOLAK ROYALTI 20% PAS SABAH BIDAS SHAFIE APDAL

 Sumber : Harakah Daily

KUALA LUMPUR: Sabah terlebih dahulu perlu menerima hasil dari sumber minyaknya sebelum diagihkan ke negeri-negeri lain.

Apabila terdapat lebihan dari agihan tersebut, barulah ia wajar diagihkan ke negeri-negeri lain, tegas Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling (gambar).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin Umno Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang menolak tawaran Pakatan Rakyat memberikan bayaran royalti sebanyak 20 peratus jika berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Seperti yang diucapkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ketika sambutan hari Malaysia di Sabah sebelum ini, Islam telah memperingatkan mana-mana hasil yang diperoleh dari negeri tersebut perlu diagihkan untuk keperluan negeri itu sendiri sebelum diagihkan ke negeri lain.

"Justeru, untuk mengagihkannya (hasil negeri) untuk negeri lain dengan meninggalkan Sabah terus terpinggir dari arus pembangunan, merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima rakyat Sabah," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, mengapa Sabah perlu berkongsi kemakmuran bersama di saat Sabah ketinggalan dari pelbagai aspek keperluan asas.

Katanya, Sabah masih ketinggalan dari segi jajaran jalan rayanya, bekalan air terawat, kemudahan elektrik yang menghantui penduduk Sabah sekian lama.

"Kenapa hasil dari Sabah itu tidak ditawarkan kepada Sabah terlebih dahulu?  Jika selesai masalah di Sabah, tidak mengapalah jika hendak diagihkan kepada negeri lain sekalipun," kata Aminuddin lagi.

Sambil menyifatkan Shafie sebagai pemimpin yang tidak memahami denyut nadi penduduk Sabah, Aminuddin berkata kerana ketakutan mereka terhadap kebangkitan rakyat terhadap Pakatan Rakyat menyebabkan mereka tidak sedar apa yang mereka ucapkan.

Shafie, yang juga Naib Presiden Umno, sebelum ini berkata tawaran royalti minyak 20 peratus kepada negeri itu yang dibuat pembangkang tidak dapat diterima walaupun menarik, demi perkongsian kemakmuran negara.

Menteri itu juga sebaliknya menyifatkan tawaran Pakatan Rakyat itu sebagai usaha memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Pakatan Rakyat menawarkan bayaran royalti minyak 20 peratus kepada pengundi Sabah semenjak pilihan raya umum 2008.