KUALA  LUMPUR, 22 Okt ― Ahli Parlimen PAS Salahuddin Ayub membawa usul agar  Dewan Rakyat membincangkan tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA)  ke atas Prof Dr Abdul Aziz Bari yang kini disiasat dan digantung ekoran  kenyataannya berhubung titah Sultan Selangor.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, wakil rakyat Kubang Kerian  itu mahu Dewan Rakyat membincangkan berkenaan penggantungan Aziz.
“Dewan yang mulia ini seharusnya memandang serius bagaimana seorang  ahli akademik yang kepakarannnya diiktiraf di peringkat nasional dan  antarabangsa telah ditekan, dimalukan dan dihukum hanya kerana  memberikan pandangan beliau dalam subjek yang memang menjadi bidang  kajian beliau.
“Fakta ini jelas menunjukkan hal yang berlaku ini menyentuh kepentingan awam,” kata Salahuddin (gambar) yang juga Naib Presiden PAS dalam surat permohonan membentangkan usul itu.
Permohonan untuk membawa usul itu dikemukakan kepada Speaker Dewan  Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menerusi satu surat semalam.
Salahuddin berkata perkembangan terbaru menunjukkan seolah-olah UIA  sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa menuruti  tekanan politik pihak-pihak berkepentingan tanpa mempedulikan  tindakannya boleh mencemarkan reputasi dan prestijnya.
Kata Salahudddin, kerajaan dan universiti nampaknya tidak mempedulikan langsung jaminan kebebasan akademik.
“Natijahnya menampakkan bahawa janji-janji keterbukaan dan  transformasi politik yang acapkali dilaungkan Perdana Menteri hanya  sekadar mainan di mulut sahaja tetapi realitinya semakin kuat tekanan  dikenakan kepada mereka yang berbeza pendapat dengan parti pemerintah.
“Jika Abdul Aziz terus digantung tanpa beliau didapati bersalah, ini  amat menjejaskan nama UIA dan Malaysia di mata antarabangsa di samping  memberikan kesan kepada ratusan pelajar-pelajar terutamanya  pelajar-pelajar di bawah selian Abdul Aziz,” katanya.
--HD