Pengikut

AGUS SALIM VS UMNO

UCAPAN ANWAR DI TUARAN 29/7/2012

JALAN RAYA DI SABAH

INI KALILAH !!

KALAU BUKAN KITA SIAPA ? KALAU BUKAN SEKARANG BILA ?

Video tembak-menembak di Lahad Datu

Jumaat, 18 November 2011

SYABAS KHALID IBRAHIM

Selangor memang diakui, oleh banyak pihak, sebagai negeri yang cukup penting dan kritikal, daripada segi ekonomi dan juga politik. Ia merupakan negeri termaju dan menjadi penyumbang utama kepada petunjuk ekonomi negara.

Meskipun BN tidak lagi membawa projek mega ke Selangor selepas kalah teruk pada 2008, di bawah Pakatan Rakyat, negeri ini masih mencatatkan jumlah pelaburan kedua tertinggi di negara,  berjumlah RM10.6 bilion, dengan 183 projek pelaburan baru, menjadikannya negeri paling diminati pelabur asing dan pelabur tempatan.

Bukan saja menyumbangkan 22 kerusi Parlimen, malah senario politik sekitar Lembah Klang mampu mempengaruhi kecenderungan mengundi di seluruh negara memandangkan ramai penduduk  Selangor masih balik  ke kampung halaman masing-masing setiap kali pilihan raya umum.

Justeru, ada penganalisis berpendapat, perubahan politik  di Semenanjung hanya berlaku jika Selangor memulakan gelombang itu. Tidak hairanlah, Presiden Umno, Najib Razak masih mengekalkan jawatan sebagai ketua perhubungan Umno Selangor, meskipun negeri-negeri kritikal lain seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu telah dilepaskan kepada pimpinan tempatan.

Penulis buku politik, Shahbudin Husin, dalam Kesilapan-Kesilapan Najib, turut menekankan kepentingan BN merampas kembali Selangor dalam PRU13 (meskipun tidak berjaya meraih majoriti dua pertiga di Parlimen) bagi mengelak daripada Najib diasak meletakkan jawatan, untuk memberi laluan kepada Muhyiddin Yassin, sepertimana pengalaman pahit Abdullah Ahmad Badawi.

Semasa saya mewawancara Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Selangor, Cikgu Jaafar Samsudin, 2 Nov lalu, beliau juga banyak bercerita tentang pelbagai taktik licik dan konspirasi Umno untuk merebut Selangor terutama melalui senarai daftar pemilih yang terdedah dengan bermacam-macam manipulasi.

Difahamkan, dalam program-program tertutup, di depan penyokong dan jentera parti, pemimpin BN melahirkan keyakinan tinggi mereka untuk mengatasi Pakatan dalam PRU13 nanti. Tentunya ada faktor tertentu menyebabkan mereka begitu yakin ...

Meskipun diakui tidak mudah persaingan kali ini, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah menampilkan prestasi terbaik, dengan melaksanakan pelbagai tawaran menarik buat rakyat dan melunasi janji program pembaharuan yang memikat. Malah, berbanding negeri-negeri Pakatan lain, Selangor dilihat lebih ke depan, baik dari segi reformasi ekonomi mahupun politik.

Sebagai orang media, yang sering tertekan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA), saya masih teruja dengan keberanian Selangor sebagai negeri pertama meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) 2010, yang memberikan hak kepada rakyat untuk mengakses maklumat berkaitan pentadbiran negeri. NGO berkaitan media diundang khusus untuk memberikan maklum balas terhadap enakmen itu.

Begitu juga dengan inisiatif kerajaan negeri memperuntukkan RM600,000 untuk membina papan iklan (billboard) bagi menjayakan kempen memansuhkan ISA di semua 56 kawasan Dun. Juga geran peruntukan RM1 juta bagi membiayai usaha memfailkan bantahan terhadap daftar pengundi baru yang dikeluarkan SPR, terbuka untuk seluruh rakyat Selangor tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan kecenderungan politik.

Walaupun Menteri Besar Abd Khalid Ibrahim dilihat tidak begitu menonjol "tindakan siasahnya" tetapi keberanian melakukan pembaharuan politik -- apatah lagi sejak awal mentadbir, terserlah kebijaksanaannya dalam program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) -- amat dipuji.

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2012 pada 9 Nov lalu, di bawah tajuk kecil Program Pengukuhan Demokrasi, "peruntukan sebanyak RM5 juta akan disediakan bagi gerhad terhad dalam mengukuhkan proses pilihan raya yang adil dan bebas di Malaysia ... melibatkan aktiviti kesedaran dan latihan sukarelawan serta pemantau pilihan raya."

Kerajaan negeri turut memperkenal "program pembasmian rasuah dan penyelewengan" dengan peruntukan RM15 juta. Pelapor kes rasuah dan penyelewengan dalam agensi kerajaan Selangor yang berjaya dibuktikan akan diberi hadiah oleh kerajaan negeri.

Sebagai orang yang pernah naik turun ibu pejabat BPR (kini SPRM) di Putrajaya dan Shah Alam untuk mengadu kes rasuah dan salahguna kuasa bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo, saya menarik nafas lega membaca komitmen Khalid itu. Ramai MB Selangor sebelum ini (antaranya Muhammad Muhd Taib dan Abu Hassan Omar), sama ada diseret ke mahkamah atau tidak, yang pasti, mereka tidak pernah terlepas daripada palitan kotor dakwaan korupsi!

Wajar juga disebut beberapa kemudahan buat rakyat, antara lain, pemberian air percuma 20 meter padu, iaitu RM11.40 sebulan atau RM136.80 setahun, membabitkan lebih 1.2 juta isi rumah atau sekitar lima juta penduduk Selangor. Juga program pendidikan seperti Pusat Tuisyen Rakyat (RM2 juta), program SPIES (RM3 juta) dan Generasi Idaman Selangor (RM1 juta), dan Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang (RM1 juta).

Sumbangan buat warga emas melalui Jom Shopping sebanyak RM10 juta sebelum ini yang disumbangkan Kumpulan Semesta dijangka akan bertambah selari dengan peningkatan royalti perlombongan pasir. Dalam bajet 2012 itu diumumkan peruntukan untuk program Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) sebanyak RM7.5 juta; Hadiah Anak Masuk Universiti, RM7.7 juta;  Skim Mesra Usia Emas (SMUE), RM20.7 juta; Elaun Anak ke Nurseri, RM3 juta.

(Saya dimaklumkan bahawa masih ramai rakyat Selangor tidak menyedari pelaksanaan beberapa langkah pembaharuan ekonomi dan politik di bawah Pakatan. Tentulah lebih ramai penduduk di negeri-negeri lain tidak terkesan dengan usaha reformasi itu. Sedangkan ia harus disebarluaskan agar rakyat seluruh negara dapat membuat perbandingan secara adil terhadap pentadbiran BN dan Pakatan. Harakah turut dituntut lebih banyak menyiarkan "kisah kejayaan" pentadbiran negeri Pakatan dan jangan hanya tertumpu kepada "kisah kegagalan" BN).

Apa pun, yang lebih menarik perhatian umum ialah "Geran Selangorku", dengan peruntukan RM300 juta, sumbangan GLC Negeri dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Tentulah program paling menonjol daripada 17 program Geran Selangorku ini ialah tawaran gaji minimum RM1,500 gaji kasar (gross income). Dimulai empat syarikat milik kerajaan negeri yang stabil prestasi kewangannya, seperti PKNS, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) dan Worldwide.

Dana RM10 juta akan disediakan untuk menampung syarikat kerajaan negeri yang tidak berupaya untuk menampung kos untuk dasar ini. "Kerajaan negeri akan berusaha meningkatkan produktiviti negeri dan syarikat yang dimiliki supaya ia layak melaksanakan gaji minimum," tegas Menteri Besar.

Pada hemat saya, dua lagi program menarik ialah program jangkaan kehidupan bandar. Khalid menekankan: "Ia  penting untuk kita menjangka kehidupan pada masa depan agar adaptasi dapat dilakukan dengan lebih baik dan tidak berlaku kejutan dalam rancangan pembangunan serta budaya; pada masa sama alternatif perkampungan bandar  juga boleh diteroka sebagai pilihan."

Selangor juga menekankan program pengukuhan budaya. Sebanyak RM3 juta diberikan dalam bentuk geran terhad kepada para aktivis budaya untuk merancakkan aktiviti budaya. Kegiatan ilmu melalui Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) yang baru dan ceria juga harus disokong, termasuk dengan pembinaan perpustakaan desa dan daerah, yang turut disokong GLC.

Penyediaan rumah mampu milik melalui PKNS, dengan keluasan 850 hingga 1,000 kaki persegi, dikhususkan kepada golongan berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, berharga sekitar RM100,000 ke RM150,000, dengan anggaran pembinaan 11,00 unit setiap tahun adalah petanda kerajaan negeri serius menangani kemelut berlarutan yang ditinggalkan BN.

Harga rumah berkenaan jauh lebih murah berbanding dengan apa yang diperkenalkan kerajaan persekutuan, iaitu melebihi RM200,000. Cuma, mekanisme untuk menentukan siapa yang berjaya memilikinya nati harus dibuat secara telus agar elemen pilih kasih dapat dihindari.

Selain itu, saya kira usaha  kerajaan negeri untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan air perlu diberi penjelasan lanjut. Tindakan ini, seperti ditegaskan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dalam sidang Dun, 11 Nov, semakin mendesak kerana industri air di Negeri Selangor adalah fragmented atau bercelaru, tidak efisien dan tarif yang melampau ekoran persetujuan Kerajaan Pusat dengan kerjasama Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran lama untuk menswastakan industri perkhidmatan air kepada 4 syarikat konsesi.

"Saya mendesak kerajaan negeri untuk tidak berganjak daripada usaha menamatkan perjanjian konsesi sedia ada bagi memastikan kos operasi dan keuntungan operator tidak melampau sehingga membebankan rakyat. Penyangak air di Selangor harus diperangi habis-habisan kerana menghisap darah rakyat dan mendapat kekebalan dari kerajaan pusat," tegasnya.

Jika dibenarkan kenaikan tarif air yang dicadangkan Syabas, setiap isi rumah di Selangor akan berdepan dengan kenaikan bil air sehingga 71 peratus. Selain itu, dakwaan bahwa kemungkinan Selangor menghadapi krisis air menjelang tahun 2014 hanya momokan. Data-data yang dikumpulkan oleh pelbagai pihak berhubung pengeluaran dan permintaan air di Negeri Selangor menunjukkan sebaliknya.

Penyelesaian kepada masalah ini, menurut Azmin,  ialah bukan mendesak pembinaan loji rawatan air yang baru tetapi yang lebih mendesak ialah bagaimana keupayaan kita untuk mengurangkan NRW (peratusan Air Tanpa Berhasil - non revenue water). Data ini juga menunjukkan sekiranya kita mengurangkan 5% sahaja NRW, simpanan air di Negeri Selangor mempunyai lebihan sebanyak 230 jlh menjelang tahun 2014.

Berbicara soal industri air yang berkecamuk di Selangor, tentu ramai segera mengingati kos pengurusan tertinggi, terutama yang diperolehi Pengerusi Puncak Niaga Holdings Bhd, iaitu pemegang terbesar Syabas. Pada tahun 2008 beliau dibayar RM5.7 juta elaun dan gaji pengarah. Rozali dikatakan antara 10 pengarah yang mendapat bayaran tertinggi di Malaysia.

Kerajaan pusat nampaknya ghairah membela kroni perniagaan berbanding mengutamakan kepentingan rakyat Selangor. Seperti kata Tony Pua, AHli Parlimen Petaling Jaya Utara,  sejak awal konsesi diberikan kepada syarikat swasta yang mempunyai kaitan politik yang baik meskipun tanpa kemahiran dan pengalaman dalam industri air, juga tidak memiliki dana ekuiti yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan ini.

Saya harap dapat mengulas lanjut isu penswastaan air ini dalam tulisan akan datang, insya-Allah.

--HD
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan