Pengikut

AGUS SALIM VS UMNO

UCAPAN ANWAR DI TUARAN 29/7/2012

JALAN RAYA DI SABAH

INI KALILAH !!

KALAU BUKAN KITA SIAPA ? KALAU BUKAN SEKARANG BILA ?

Video tembak-menembak di Lahad Datu

Jumaat, 4 Mei 2012

BERSIH 3.0 MALAPETAKA PERHUBUNGAN AWAM NAJIB - LIM KIT SIANG


ULASAN Sepertimana yang telah saya katakan selepas perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai tahun lepas, memang terdapat banyak 'mangsa' terutamanya dari pihak Polis, petugas media arus perdana dan Suruhanjaya Pilihan Raya; tetapi tanpa sebarang keraguan, orang yang menanggung kekalahan paling teruk ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keadaan ini lebih kelihatan pada pasca “duduk bantah” BERSIH 3.0 Sabtu lepas (28 April), kerana BERSIH 3.0 merupakan satu malapetaka perhubungan awam untuk Najib berbanding BERSIH 2.0 – yang mana magnitud kerosakan dan impaknya bertambah buruk apabila kisah ngeri kezaliman polis dibongkarkan oleh ratusan ribu rakyat Malaysia yang turun ke Kuala Lumpur dalam keadaan aman tetapi tidak pula dibenarkan pulang dan bersurai dalam keadaan aman.

Tiada seorang pun rakyat Malaysia yang waras dan boleh berfikir, mungkin mudah terbeli dengan dakwaan Najib semalam bahawa penganjur BERSIH 3.0 bertanggungjawab atas keganasan Sabtu lalu, khasnya amukan keganasan dan kekejaman polis terhadap peserta perhimpunan aman dan petugas media.

Kuasa berlebihan, tidak bertempat dan tanpa berkecuali yang digunakan oleh polis, sama ada menembak gas pemedih mata, tembakan meriam air mahupun keganasan dan kekejaman lainnya, tidak boleh dihalalkan atas alasan demonstran merempuh penghadang Dataran Merdeka Sabtu lepas.

Satu kritikan terhadap salahtadbir kerajaan dalam menangani perhimpunan BERSIH 2.0 untuk pilihan raya bebas dan adil pada Julai tahun lepas, menggesa agar pentadbiran Najib membuang mentaliti “Perang Dingin” dan memodenkan konsepnya dalam menangani isu keselamatan dalam negara dan isu-isu nasional yang lain.

Namun begitu, mentaliti “Perang Dingin” ini dilihat dominan dalam cara pengurusan salah acara “duduk bantah” BERSIH 3.0 selepas jam 3 petang Sabtu lepas.

Pentadbiran Najib harus diingatkan semula bahawa “musuhnya” bukan lagi komunis yang mengangkat senjata dan berperang di dalam hutan belantara tetapi sebuah gerakan masyarakat yang terdiri daripada golongan pertengahan yang sudah celik politik yang turut berhubung dengan masyarakat dunia dan bergerak atas isu-isu yang sah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan seperti pilihan raya yang bebas dan adil; hak asasi untuk berhimpun dan berpersatuan; pentadbiran berintegriti, baik, bersih dan tanpa rasuah!

Tentang salahurus kerajaan semasa perhimpunan BERSIH 2.0, Najib mempunyai peluang untuk berhenti sejenak, berundur dan menyelamatkan situasi sebelum kerosakan yang lebih parah berlaku – yang membawa kepada ucapan Hari Malaysia pada 16 September tentang Transformasi Politik bersama janji-janji reformasi kebebasan demokrasi dan hak asasi.

Adakah Najib mampu merentasi kabut propaganda ciptaannya dan para penasihat beliau untuk menyedari bahawa BERSIH 3.0 merupakan satu bencana yang lebih besar untuk beliau, berbanding BERSIH 2.0, yang turut membawa kepada “hari terburuk dalam sejarah media di Malaysia” di mana wartawan dan jurugambar sekaliannya telah memprotes pada Hari Kebebasan Media Sedunia semalam dengan memakai pakaian berwarna hitam bersama riben kuning.  Dan profesionalisme polis mendapat lebam mata paling teruk dalam sejarah dengan amukan keganasan dan kekejaman anggotanya terhadap peserta perhimpunan aman dan petugas media?

Adakah Najib menyedari bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussein, pernah menyatakan sebelum ini bahawa BERSIH 3.0 bukanlah “ancaman keselamatan” kerana ia “tiada daya tarikan” dan juga amat pantas memuji “ketahanan diri dan profesionalisme polis” meski terpampang kes amukan keganasan dan kekejaman polis paling teruk; beliau tidak boleh meyakinkan orang awam bahawa sebuah penyiasatan awam tanpa sebarang halangan akan menyiasat keganasan BERSIH 3.0 tanpa mengira mangsa – sama ada polis, wartawan mahupun peserta perhimpunan aman?

Bolehkah Najib berhenti sejenak, melihat ke belakang, dan menyelamatkan keadaan sebelum lebih banyak binasa dilakukan terhadap pentadbirannya dan juga persepsi antarabangsa terhadap negara akibat salahurus yang lebih besar sewaktu “duduk bantah” BERSIH 3.0 berbanding BERSIH 2.0 Julai lalu?

Penulis adalah Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timor. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Kembar Seiras.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan