Ihsan : Malaysiakini
Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berpandangan mereka yang
mengaitkannya dengan kumpulan kongsi gelap sewaktu beliau masih
berkhidmat cuba merosakkan nama baiknya.
Musa percaya ia dibuat
kerana beliau adalah pegawai penyiasat dalam kes Liwat 1 melibatkan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Mereka ingin merosakkan reputasi saya. Ini juga ada kaitan dengan
Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apabila reputasi saya rosak Anwar boleh kata saya menganiaya dia," katanya.
Musa
bagaimanapun tidak mengesahkan yang pegawai-pegawai kanan polis yang
dimaksudkannya itu mempunyai kaitan secara langsung dengan Ketua
Pembangkang itu.
Dua pegawai tertinggi polis, Datuk Ramli Yusuff
dan Mat Zain Ibrahim sebelum ini dilaporkan bersedia memberi keterangan
jika tribunal ditubuhkan untuk menyiasat Musa dan Tan Sri Abdul Gani
Patail.
Tribunal itu bertujuan menyiasat kebenaran dakwaan bahawa
Musa bertanggungjawab membebaskan seorang ketua kongsi gelap Johor,
dikenali sebagai Goh Cheng Poh atau Tengku Goh.
Dalam temubual dengan Malaysiakini, Musa mengaku mengetahui tuduhan terhadap Tengku Goh namun beliau tidak mengenalinya secara individu.
"Saya tak kenal Tengku Goh pun. Masa di Johor saya tahu dia terlibat dengan ekor haram.
"Masa itu saya dimaklumkan Tengku Goh ditangkap Commercial Crime (jenayah perdagangan) kerana terlibat dengan judi.
"Saya
putuskan semasa mesyuarat Commercial Crime (jenayah perdagangan) hanya
ambil tindakan terhadap along (sindiket wang haram), bukan judi. Judi
(di bawah kendalian) D7. Kenapa dia (Ramli)
pula yang pergi menyiasat?" katanya.
Ramli
yang merupakan mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil
sebelum ini mendakwa ditugaskan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada masa
itu, Datuk Johari Baharom untuk membanteras sindiket pinjaman wang haram
di Johor.
Dalam siasatannya, Ramli mendakwa menemui perkaitan di antara Tengku Goh dan Musa.
Ramli
mendakwa, bagi melindungi dirinya, Musa kemudian berpakat dengan Peguam
Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menganiaya pasukannya yang
menyiasat Tengku Goh.
Jabatan Peguam Negara dilaporkan mendakwa
enam orang pegawai penyiasat pasukan Ramli atas tuduhan memalsukan
bukti, namun semua tuduhan itu kemudiannya digugurkan.
Sewaktu
ditanya tentang tuduhan yang beliau menghapuskan rangkaian kongsi gelap
lain di Johor bagi membolehkan ia ditadbir Tengku Goh sahaja, Musa
menjawab tindakan itu, jika benar, adalah 'tindakan yang bodoh'.
"Kenapa saya hendak buang network (rangkaian) ini dan ambil orang baru jadi ketua dan buat network lain.
"Bukan
senang nak ada network (rangkaian). Kalau saya nakkan duit, baik saya
ikut network (rangkaian) lama. Jadi saya rasa tak logik," katanya.
Dalam wawancara sama, Musa turut mendedahkan yang tindakan
terhadap Ramli (kiri) adalah kerana satu laporan yang dibuat Jeffrey
Pairin Kitingan yang mendakwa Ramli memiliki tanah seluas 200 ekar di
Sabah.
"Saya dikatakan menganiayai seseorang. Padahal yang buat
report (adalah) Jeffrey Pairin Kitingan yang mendakwa dia (Ramli) ada
tanah 200 ekar di Sabah. Sebab itu SPRM siasat. Ia kemudian membawa
kepada siasatan akaun beliau," katanya.
Ramli sebelum ini dituduh
tidak mengisytiharkan hartanya sebanyak RM27 juta kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga dakwaan menggunakan pesawat
Cessna milik polis untuk meninjau tanah miliknya di Sabah, sewaktu
bertugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah.
Ramli kemudian dibebaskan Mahkamah Sesyen sehingga ke Mahkamah Rayuan yang memutuskan beliau tidak perlu dipanggil membela diri.
Tidak kenal BK Tan
Dalam
wawancara yang sama, Musa turut ditanya tentang dakwaan bahawa beliau
meminta nasihat seorang lagi individu dalam kongsi gelap, dikenali
sebagai BK Tan dalam memutuskan kenaikan pangkat pegawai-pegawai kanan
polis.
Menjawab
soalan itu, Musa berkata beliau mengenali ramai BK Tan dan kenaikan
pangkat pegawai kanan polis turut disaring Perdana Menteri serta
jawatankuasa tatatertib polis.
"Semua nama untuk kenaikan pangkat saya serahkan kepada Perdana Menteri. Bukan saya seorang naikkan pangkat orang," katanya.
Menjawab
dakwaan bekas pembantunya (aide de camp), Noor Azizul Rahim yang
membuat pengakuan bersumpah dan mengaku melihat sendiri perkara itu
berlaku, Musa mengatakan yang beliau bebas meminta nasihat sesiapa
sahaja dalam perkara itu.
"Saya naikkan pangkat orang yang perform dan tidak terlibat dengan rasuah," katanya.
Di
sebalik semua dakwaan itu, Musa berkata beliau tidak pernah menyesal
memimpin pasukan polis selama empat tahun kerana beliau tetap mendapat
sokongan sebahagian daripada mereka yang berada dalam pasukan itu.
Namun, beliau simpati dengan mereka yang menyokongnya dahulu tetapi kini 'dipinggirkan' dalam pasukan polis.
"Tidak mengapa. Saya terima kerana saya tahu saya buat yang terbaik untuk pasukan.
"Memang
ada yang bersama (saya) tetapi apabila (saya) pencen, nama mereka susah
nak 'naik' (dipertimbang untuk kenaikan pangkat)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan