Pengikut

AGUS SALIM VS UMNO

UCAPAN ANWAR DI TUARAN 29/7/2012

JALAN RAYA DI SABAH

INI KALILAH !!

KALAU BUKAN KITA SIAPA ? KALAU BUKAN SEKARANG BILA ?

Video tembak-menembak di Lahad Datu

Ahad, 18 Disember 2011

KATAK OH KATAK

18 DIS — Istilah “katak” sering kali merujuk kepada seekor haiwan amfibia yang berdarah sejuk, yang mempunyai daya lompatan yang kuat.
Toleh sahaja kepada wajah katak mungkin boleh menyebabkan seseorang itu hilang selera untuk makan mahupun menjadikan mereka fobia untuk menyentuh atau melihat ke arah haiwan berkenaan.
Sudah tentu katak tidaklah begitu menggerunkan dan berbisa jika dibandingkan dengan ular namun katak mempunyai peranannya tersendiri.
Bercakap mengenai katak, mengingatkan penulis dengan katak tetapi katak yang dimaksudkan di sini ialah katak-katak politik dan bukannya katak sembarangan.
Bunyinya mungkin agak pelik sedikit dan sinis. Ada yang bertanya mana mungkin katak boleh berkecimpung dalam arena politik. Tambahan pula, katak tidak berparti, katak juga tidak mengerti untuk berkempen dan katak hanya tahu melompat dari satu tempat ke tempat yang lain.
Memang benar katak tidak berkecimpung dalam politik tetapi sekurang-kurangnya katak mempunyai integritinya tersendiri. Sekurang-kurangnya dia tahu bahawa tugasnya adalah untuk mencari makanan bagi memastikan kelangsungan hidupnya.
Berbanding pula dengan perwatakan katak-katak politik, mereka ini lebih bersifat talam dua muka, oportunis dan boleh berpaling tadah bila mana keadaan semasa tidak memihak kepadanya. Jelas, katak-katak politik sedemikian semakin ketara dalam persada politik negara mutakhir ini.
Bagi katak-katak politik sebegini, melompat parti merupakan satu amalan biasa dan tidak salah selagi ia sesuai dengan kepentingan semasanya. Lagipun, apakah yang lebih penting daripada memastikan kelangsungannya terjamin?
Pokok pangkalnya, usah bercakap mengenai prinsip dengan pemimpin-pemimpin terbabit. Di mata mereka, soal memperjuangkan prinsip hanyalah satu pentas untuk meraih sokongan pengundi pada musim pilihan raya sahaja. Apa yang dicakapnya mungkin berlawanan dengan apa yang dijanjikan sebelumnya. Dan rakyat dari satu sudut pula terpaksa menelan kepalsuan tahun demi tahun hingga kesabarannya mulai terhakis.
Apabila beberapa pemimpin pembangkang yang mengumumkan keluar parti daripada Pakatan Rakyat baru-baru ini atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Lagipun, ke mana mereka boleh pergi selepas melompat parti? Membuka perniagaan sendiri? Ataupun bersara terus?
Lebih menetapi ramalan dalam skrip ini ialah mereka akan seterusnya berkata, mereka tidak mahu rakyat menjadi mangsa. Kepada pemimpin-pemimpin politik ini, mohon janganlah menggunakan rakyat sebagai justifikasi untuk menghalalkan amalan tidak beretika itu.
Apa yang cuba dilakukan oleh katak-katak politik dengan melompat parti membuktikan undi rakyat tidak penting untuk mereka. Ia secara terang-terangan menunjukkan mandat rakyat telah diperlekehkan ke tahap yang begitu rendah.
Apakah pemimpin-pemimpin sedemikian tidak tahu malu dengan perbuatan tidak beretika itu? Wah, bukan main senang nak umum keluar parti lepas itu umumkan nak sertai parti politik yang lain. Apakah mereka ingat bahawa melompat parti semudah menyalin baju baru?
Mereka harus belajar menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat. Undi yang diberikan itu bukanlah kertas kosong semata-mata. Setiap undi yang dipangkah itu yang akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah parti politik mahupun pemimpin mereka.
Sokongan yang mereka berikan bermakna mereka percayakan pemimpin yang dipilih itu. Tetapi dengan melompat parti, katak-katak politik itu bukan sahaja telah mengkhianati mandat rakyat bahkan juga memberi gambaran yang cukup buruk terhadap imej pemimpin-pemimpin politik kononnya semua pemimpin politik mempunyai mentaliti sebegitu. Jangan pula selepas ini katak-katak politik melenting kerana rakyat mempunyai pandangan negatif terhadap mereka kerana sentimen negatif itu wujud kerana angkara mereka sendiri.
Sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin begini ditolak keluar dari persada politik negara kerana ia mengaibkan imej pemimpin-pemimpin politik lain yang komited berkhidmat untuk rakyat. Justeru, janganlah disebabkan setitik nila, rosak susu sebelanga. Masih ada pemimpin-pemimpin politik di luar sana yang baik, jujur dan ikhlas untuk berkhidmat walaupun tidak sebanyak mana.
Sesungguhnya, rakyat lebih rela menerima seorang katak yang bermaruah daripada katak yang hanya pandai mengambil kesempatan, menabur janji-janji kosong dan mengaibkan profesion yang diceburinya sendiri.
Katak oh katak!
* Segala pandangan yang diberikan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis. --Markus Lim.

Sabtu, 17 Disember 2011

PAKATAN BORNEO BERSATU DITUBUHKAN UNTUK MENCABAR BN DALAM PRU 13

KOTA KINABALU: Presiden Barisan Borneo Bersatu (UBF)Datuk Dr Jeffrey Kitingan hari ini mengumumkan pembentukan perikatan dengan Sabah dan parti-parti yang berpangkalan di Sarawak dikenali sebagai Pakatan Borneo Bersatu yang akan memberi cabaran kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Bekas naib presiden PKR itu membuat pengumuman berkenaan di sini dengan dihadiri Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR) yang berpangkalan di Sarawak, Dr Dripin Anak Sakoi yang memegang jawatan itu selepas bekas presiden, Dr Patau Rubis memegang jawatan pengerusi tetap parti.
Turut hadir ialah Presiden sementara parti USNO yang baru dipulihkan, Datuk Badaruddin Tun Datu Mustapha dan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Amde Sidik.
"Sabah dan Sarawak mempunyi kepentingan bersama. Kami rasa terdapat keperluan untuk menubuhkan sebuah perikatan sebagai platform untuk meneruskan agenda Borneo.
"Kami (Sabah dan Sarawak) boleh menjadi rakan sepasukan dalam melindungi dan memelihara kepentingan dan hak rakyat di kedua-dua negeri ini," katanya kepada pemberita selepas membuat pengumuman itu pada sambutan ulang tahun pertama UBF.
Bagaimanapun Dr Jeffrey tidak menamakan platform bagi beliau dan penyokongnya tentang karier politiknya di sebalik spekulasi bahawa beliau akan membentuk cabang parti yang berpangkalan di Sarawak itu di Sabah.
Beliau juga berkata, pembentukan perikatan itu adalah platform terbaik untuk memenangi tujuan itu dan menjaga kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.
"Tumpuan kami sekarang adalah untuk mengukuhkan kepentingan Borneo dari perspektif tempatan," katanya.
Dengan kemunculan perikatan yang berpusat di Borneo, parti pemerintah B Nakan berhadapan cabaran getir bukan hanya daripada Pakatan Rakyat, gabungan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi juga Pakatan Borneo Bersatu di Sabah dan Sarawak.
Ditanya simbol baru perikatan itu pada PRU akan datang, Dr Jeffrey berkata: "Ia masih lagi belum ditetapkan, tetapi kami sedang mengusahakannya."

Jumaat, 16 Disember 2011

PERAHU SUDAH DI AIR PENDAYUNG SUDAH DI TANGAN

" Kami harap baik Hasan Ali mahupun Nasharudin boleh isi borang tersebut, kata ketua penerangan Umno Selangor."


PETALING JAYA: Umno tiada halangan menerima exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa  menyertai parti itu, malah mengalu-alukan penyertaan mereka.
Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus berkata, keputusan untuk menyertai parti itu disifatkan tepat kerana PAS kini sudah tidak lagi memperjuangkan Islam yang sebenar.
Abdul Shukor menegaskan, baik Hasan mahupun Nasharudin kedua-dua pemimpin PAS itu dianggap bijak untuk membuat keputusan dan masih belum terlambat untuk berbuat demikian.
“Hasan Ali adalah seorang yang bijak untuk melihat sendiri siapa yang memperjuangkan Islam. Umno memimpin parti berbilang kaum dan meningkatkan martabat Islam jauh dari parti-parti lain.
“Hanya orang buta tidak nampak perjuangan Umno dan Islam. Jika boleh Hasan Ali dan Nasharudin menilai perkara ini.
`Hanya topeng’
“Malah pilihan menyertai Umno adalah tepat kerana Umno yang memperjuangkan Islam. PAS hari ini bukan perjuangkan Islam tetapi hanya mahu kekal berkuasa dengan bersekongkol dengan DAP. Perjuangan Islam oleh PAS hanya topeng,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Katanya jika kedua-dua pemimpin tersebut berminat menyertai Umno, prosedur biasa perlu dilalui dengan mengisi borang yang akan diproses oleh Majlis Tertinggi parti itu.
“Umno terbuka kepada orang Melayu tidak kira nama atau rakyat biasa.Tiada halangan untuk sesiapa sahaja. Kami harap baik Hasan Ali mahupun Nasharudin  boleh isi borang tersebut.
Abdul Syukor membidas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam, sambil menegaskan  Umno itu telah membawa kesejahteraan dan berada landasan benar.
Mustafa dilaporkan  berkata dua pemimpin parti itu sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS.
Track record
“Jerat Umno bawa kesejahteraan dan kita berada dilandasan benar. Ini terbukti dengan ‘track record’ kami untuk memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu.
“PAS sanggup gugurkan agenda dari negara Islam kepada negara kebajikan,” kata Abdul Syukor.
Isu itu tercetus apabila Ketua Penerangan PAS  Selangor Saari Sungib dilaporkan berkata, Hasan tidak menerima pencalonan yang mencukupi daripada cawangan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man menafikannya dan berkata, perkara itu belum muktamad.
Hasan   turut membuat pendirian bahawa akan tetap kekal bersama parti, malah PAS Selangor juga yakin beliau akan kekal menjadi ahli.

--Free Malaysia Today

SENARAI JAWATAN KLON YANG DIBAYAR BERBILION RINGGIT !!

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan ( JKKKP )

Tahukah anda, sejak daripada tahun 2008 sehinggalah pada penghujung tahun 2010, kerajaan persekutuan BN yang didominasi oleh Umno telah membelanjakan lebih daripada RM138 juta bagi membiayai kos operasi dan membayar elaun-elaun serta faedah ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung-Persekutuan (JKKKP).
JKKKP ini telah ditubuhkan di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang sejak daripada dahulu lagi telahpun mempunyai Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) lantikan peringkat negeri yang asal.
JKKKP ini telah ditubuhkan di semua perkampungan di negeri-negeri di mana BN telah dikalahkan dan kehilangan kuasa di dalam pilihanraya umum yang lalu bagi mencabar kewibawaan JKKK asal yang sedia ada.
Manakala bagi negeri-negeri yang masih ditadbir oleh BN, JKKKP tidak ditubuhkan kerana JKKK lantikan negeri masih dikuasai oleh mereka.
Tujuan pembentukan dan perlantikan JKKKP ini adalah jelas, BN tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah ditolak oleh rakyat dan kekalahan mereka di dalam pilihanraya umum yang lalu, justeru daripada itu, menggunakan kaedah sedemikian (JKKKP) untuk mencabar dan melawan kesahihan JKKK di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.Inilah disebut JKKK Klon yang digelar JKKKP.

Ada juga Penghulu Persekutuan!

Selain daripada JKKKP lantikan kerajaan persekutuan BN untuk mencabar kewibawaan JKKK asal yang sedia ada, BN turut melaksanakan perlantikan Penghulu-penghulu Persekutuan bagi mencabar para Penghulu-penghulu asal perkampungan yang telahpun dilantik oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Perbuatan kerajaan persekutuan BN yang sehingga kini masih enggan mengiktiraf sepenuhnya kerajaan-kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat dengan melantik JKKKP dan Penghulu Persekutuan di kawasan-kawasan dan perkampungan-perkampungan di negeri-negeri tersebut telah mengakibatkan perbelanjaan boros wang rakyat yang langsung tidak berfaedah kerana wang-wang tersebut hanya diberikan kepada para penyokong BN yang menganggotai JKKKP dan menjadi Penghulu Persekutuan.Dah ada Penghulu Klon pula yang bergelar Penghulu Persekutuan.

Wakil-wakil Rakyat Klon turut wujud

Dalam pada itu, kita juga dapati bahawa wakil-wakil rakyat klon turut wujud di kesemua kawasan-kawasan parlimen dan dewan undangan negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat, yang digelar sebagai Penyelaras Parlimen ataupun Penyelaras Dewan Undangan Negeri.
Para Penyelaras-penyelaras BN Parlimen dan Penyelaras-penyelaras BN Dewan Undangan Negeri ini adalah dilantik secara terus oleh kerajaan persekutuan BN melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan lantikan-lantikan mereka dikawal selia oleh Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan (ICU) JPM.
Bagi mengurus tadbir para Penyelaras-penyelaras BN peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ini, ICU telah membentuk Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) di setiap negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat bagi membayar gaji dan faedah para Penyelaras-penyelaras BN tersebut sambil menguruskan peruntukan kewangan untuk mereka.
Gaji yang dibayar kepada para Penyelaras-penyelaras BN Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ini adalah sama dan setaraf dengan elaun-elaun yang diterima oleh para Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih secara sah oleh rakyat melalui pilihanraya umum.
Justeru daripada itu, para Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dinafikan hak mereka untuk mendapat peruntukan kewangan untuk kawasan-kawasan yang diwakili oleh mereka sebaliknya, ianya telah disalurkan pula kepada para Penyelaras-penyelaras BN.
Jelaslah bahawa hak-hak para Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat telah dinafikan terus walaupun mereka-mereka ini telah dipilih secara sah oleh rakyat jelata, kerana peruntukan kewangan mereka telah dirampas oleh para Penyelaras-penyelaras BN yang mendakwa kononnya, merekalah “wakil rakyat” yang sebenarnya.
Tetapi rupa-rupanya mereka ini (para Penyelaras BN) hanyalah wakil-wakil rakyat klon.
Klon-klon JKKK, Penghulu dan Wakil rakyat yang diwujudkan oleh kerajaan persekutuan BN ini jelas menunjukkan bahawa BN yang didominasi oleh Umno ini masih enggan mengiktiraf wakil-wakil pilihan rakyat yang sah mengikut perlembagaan dan lunas-lunas demokrasi yang sedia ada.
Di samping itu, kewujudan klon-klon JKKK, Penghulu dan Wakil rakyat yang dilantik dan digaji oleh BN ini juga telah jelas membuktikan BN terlalu boros di dalam mengejar dan mengekalkan kuasa mereka, wang-wang rakyat dibelanjakan berbilion-bilion Ringgit dengan begitu sahaja di mana rakyat jelata langsung tidak mendapat sebarang faedah pun akibat daripada pengklonan jawatan-jawatan dan kedudukan tersebut.
Tujuan BN melaksanakan pengklonan kesemua jawatan dan kedudukan JKKK, Penghulu dan Wakil rakyat tersebut hanyalah politik jijik semata-mata, iaitu untuk mencabar kewibawaan dan kesahihan kerajaan-kerajaan negeri dan wakil-wakil Pakatan Rakyat yang sedia ada.
Kalau begitu, kenapa tidak BN-Umno ini klonkan sekali jawatan-jawatan Ketua Menteri, Menteri Besar dan Exco-Exco Negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan bagi menyempurnakan sepenuhnya keengganan mereka mengiktiraf demokrasi dan kuasa rakyat untuk mengundi wakil-wakil pilihan mereka?

--Malaysia Cronicle

Khamis, 15 Disember 2011

SALAHUDDIN AYUB SEDIA BERTANDING DI KERUSI PANAS

Salahuddin Ayub
 
PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub tidak menolak jika diletakkan bertanding di kawasan sukar bagi membantu parti merampas kerusi yang dimenangi Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Malah, katanya, perkara itu juga merupakan matlamat peribadinya selain selari dengan kehendak pucuk pimpinan PAS yang mahu beliau bertanding di kawasan panas.
"Mungkin saya akan bertanding di kawasan yang tidak menjamin kemenangan...mungkin di tempat yang ada peluang 50-50 untuk menang bagi menambah kerusi yang boleh dimenangi parti.
"Pilihan raya akan datang amat penting bagi PAS dan juga Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Mengulas mengenai desas-desus beliau bakal diturunkan bagi berdepan Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali di Pasir Mas, Salahuddin berkata, beliau mempunyai misi yang lebih besar dari itu.
"Mungkin ada pihak melihat keperluan saya di situ tetapi saya ada misi yang lebih besar dari itu. Ada orang lain yang lebih sesuai untuk berdepan Ibrahim Ali di Pasir Mas," katanya lagi.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, sebaliknya memberitahu, senarai akhir calon yang bertanding akan dimuktamadkan sebelum penghujung tahun ini.
"Kita sedang menunggu laporan dari setiap negeri yang kemudiannya akan dihantar ke Ibu Pejabat PAS bagi memuktamadkan senarai calon," katanya.
Semalam, portal Malaysiakini melaporkan PAS akan menurunkan Salahuddin di kerusi parlimen Pasir Mas dalam usaha menumbangkan Ibrahim.
Ibrahim telah memenangi pilihan raya umum di kawasan tersebut atas tiket Pas sebelum mengumumkan dirinya sebagai wakil Bebas dan menubuhkan Perkasa.

--mStar

OLANG CINA,BN SULAH MANYAK BANTU LU OLANG TAU JADI LU OLANG KENA SOKONG KELAJAAN LO...

Najib: BN bantu kaum Cina, kaum Cina ‘kena sokong kerajaan’
 
KLANG, 15 Dis — Di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 semakin dekat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat khususnya kaum Cina agar terus menyokong kerajaan pimpinannya .
Laporan media sebelum ini menyebut aliran sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN) tidak banyak berubah sejak pilihan raya umum 2008.
Berucap pada jamuan makan malam Perpaduan Agama Tao Selangor di Pandamaran di sini malam tadi, Najib (gambar) yang juga Pengerusi BN berkata peluang perniagaan untuk masyarakat Cina tidak pernah disekat dan ini dapat dilihat daripada penguasaan mereka terhadap sebahagian besar perniagaan dalam negara.
“Mereka berjaya kerana kita amalkan dasar ekonomi yang bebas. Kita jamin keamanan dalam negara dan kestabilan dalam negara.
“Kita berlaku adil kepada semua kaum. Orang Cina boleh maju kerana dasar kita. Tidak ada orang Cina yang boleh kata mereka kaya tanpa pertolongan kerajaan,” katanya dipetik Bernama Online.
Kata beliau, selain kaum lain, kerajaan juga memberikan penukaran tanah, lesen bank, lesen beras, lesen gula kepada kaum Cina untuk membantu membangunkan ekonomi mereka.
“Oleh itu, rakyat haruslah sokong apa yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.
Dalam ucapannya, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, berbilang agama supaya memberi penekanan kepada titik persamaan dalam nilai agama masing-masing demi membina Malaysia yang lebih bersatu padu.
Beliau berkata walaupun setiap agama berbeza dalam mengajar perkara yang baik tetapi nilainya tetap bersandar kepada nilai-nilai universal seperti bersopan, menghormati orang tua, amanah dan rajin bekerja.
“Kalau kita boleh menekankan nilai-nilai bersama, maka kita ada titik persamaan antara sesama kita. Kita boleh memupuk warganegara yang baik tak kira sama ada Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Tao... yang penting warganegara yang baik yang sayang pada negara, setia pada negara hormat undang-undang dan kaum agama yang lain,” katanya.
Najib menambah, pengasas Malaysia yang diketuai Tunku Abdul Rahman mempunyai pandangan jauh untuk mentadbir negara yang kompleks seperti Malaysia.
“Justeru, rakyat dan pemimpin-pemimpin perlu mempunyai sikap bertolak ansur. Kalau kita nak semua yang kita tuntut, pastilah kita akan berbalah atau bergaduh antara satu sama lain,” katanya.
Selain itu, katanya rakyat Malaysia juga mempunyai sikap saling menghormati antara satu sama lain terhadap aspek agama dan budaya seperti yang ditampilkan oleh penganjur majlis itu, Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Selangor, yang menyediakan makanan halal untuk jemputan Islam.
“Saya datang malam ini bersama MIC, MCA, PPP, Gerakan kerana kita menghormati agama Tao sebab itu kami ada bersama-sama dalam majlis ini,” katanya sambil berterima kasih dengan sambutan yang diterima pada majlis itu, yang dihadiri kira-kira 15,000 orang daripada pelbagai kaum dan agama.
Najib juga berkata Gagasan 1 Malaysia diperkenalkan berteraskan dasar-dasar inklusif terutamanya dalam pembasmian kemiskinan yang tidak mengira kaum dalam menghulurkan bantuan.
“Bila kerajaan beri (bantuan sekolah) RM100, kita beri kepada setiap pelajar tidak kira sama ada Sekolah Kebangsaan, Cina, Tamil dan Sekolah Agama dan dalam sedikit masa lagi kita beri (bantuan rakyat 1 Malaysia) RM500 pula kepada mereka berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 (sebulan),” katanya.
Menurutnya kerajaan telah melakukan banyak perkara untuk menjamin Malaysia maju ke hadapan sebagai negara berpendapatan tinggi termasuk mengurangkan kerenah birokrasi.

--MI

Rabu, 14 Disember 2011

BOMOH DAH SEBATI DENGAN KEHIDUPAN KITA,APA CERITA BOMOH PILIHAN RAYA ?

Di Malaysia ini kita tidak tahu bila pilihan raya akan dijalankan. Kalau di zaman Mahathir Mohamad dahulu, kita berpilihan raya apabila Mahathir telah mendapat ilham.
Ini bukan kenyataan fitnah. Orang ramai selalu terbaca tentang ‘menunggu ilham' yang datangnya dari mulut Mahathir sendiri.

Di zaman Abdulalh Badawi keadaan agak lucu. Ada pemerhati politik mendakwa bahawa tarikh pilihan raya ditetapkan oleh Khairy Jamaludin - menantu Abdullah.
Ini tidak betul. Yang sahih ialah tarikh pilihan raya hanya diumum setelah Perdana Menteri Abdullah terbangun dari mimpinya.

Di zaman Najib Razak ini, bila pilihan raya akan dijalankan menjadi lagi pelik. Mengikut surah Haji Desas bin Lebai Desus, tidak ada sesiapa yang tahu tarikh pilihan raya kecuali Rosmah Mansor.
Amat pelik bunyinya. Lagi pelik dari ilham Mahathir. Lagi menakjubkan dari mimpi Abdullah Badawi.

Mengikut surah yang semakin tersebar, Rosmah Mansor akan mendapat tarikh ini dari Guru Ji yang akan menilik bintang-bintang di langit dan melihat perjalanan cakerawala di alam semesta.
Pak bomoh dari Mumbai ini akan menasihatkan Rosmah Mansor bila saat dan ketika yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya. Saat dan ketika yang molek berpilihan raya ialah apabila bintang kelahiran Anwar Ibrahim mula tergelincir.

Ini bukan perkhabaran fitnah. Jangan lupa bagaimana seluruh jantung negara berdebar-debar apabila tarikh 11 haribulan sebelas, tahun dua ribu sebelas hampir sampai.
Debaran jantung ini berpunca dari Najib Razak sendiri yang percaya bahawa angka sebelas ini membawa ong. Najib dikatakan taksub dengan angka 11. Sebenarnya bukan Najib seorang sahaja menteri kabinet yang pecaya ada angka-angka khusus yang akan membawa tuah. Lihat Menteri Pertahanan Zahid Hamidi yang gila dengan angka 38, hinggakan semua kereta yang dimiliki memakai angka yang sama.

Di sini saya ingin menyebarkan maklumat bahawa pengunaan nujum dan bomoh untuk menetapkan tarikh pilihan raya ini bukan hanya amalan di Malaysia.
Di Afrika, peranan bomoh dalam politik harian cukup besar. Emperor Bokassa dari Afrika Tengah menggunakan khidmat bomoh siang dan malam. Ini sama seperti apa yang dilakukan oleh Idi Amin Dada di Uganda dan Mobuto Sese Seko dari Congo.

Kita juga jangan buat-buat lupa pada satu ketika dahulu bomoh juga telah memainkan peranan yang penting dalam realpolitik di Eropah.
Sila buka kitab sejarah Revolusi Bolshevik 1917. Selain dari nama Lenin dan Trotsky kita akan berjumpa dengan nama Rasputin. Jantan yang berselindung di belakang agama ini ialah seorang bomoh yang mempengaruhi Emperor Nicholas dan pemaisuri Alexandra.

Mungkin ramai yang akan bertanya kenapa agaknya para politikus ini menggunakan khidmat bomoh. Untuk persoalan ini jawabnya cukup senang. Khidmat bomoh ini diperlukan kerana semua kerajaan dan pentabiran di negara-negara ini tidak mendapat sokongan ramai. Kerajaan yang bersikap ganas dan zalim memerlukan bomoh.
Emperor Bokassa dan Idi Amin menjadi pemimpin negara kerana merampas kuasa. Manakala Mobuto dinaikkan oleh rampasan kuasa Agensi Perisikan Pusat (CIA). Emperor Nicholas di Russia dibenci oleh rakyat hingga berlaku revolusi.

Apa perlunya khidmat bomoh untuk mereka? Kenapa Najib percaya kepada angka 11? Soalan ini akan membuka persejarahan politik negara kita. Jangan ketawa atau mengeleng-gelengkan kepala apabila membaca apa yang saya surahkan di sini.

Di Indonesia, 17 Ogos dipilih kerana ditarikh itu rakyat Indonesia yang mengangkat senjata telah berjaya menghalau Belanda. Di Rusia, 17 Oktober dipilih kerana di saat itu Revolusi Bolshevik telah berjaya menghalau Czar dan Czarina dan Lenin telah mendirikan sebuah republik.
Di tanah besar China mereka merayakan 1 Oktober kerana di hari itu Republik Rakyat China diisytiharkan oleh Mao Tse Tung pada tahun 1 Oktober 1949. Tarikh-tarikh ini diambil kerana sejarahnya.

Bagimana pula dengan Tanah Melayu? Untuk warga yang peka pasti akan teringat bagaimana sekali sekala kita terbaca dari media arus perdana tentang sejarah tarikh pengistiharan British memberikan pentabiran ini kepada United Malay National Organisation. Sila jangan ketawa kerana di Tanah Melayu tarikh 31 Ogos telah dipilih oleh bomoh... Opss, maaf bukan bomoh.

Tarikh 31 Ogos telah ditemui setelah menilik bulan dan bintang. Orang yang menilik bulan dan bintang ini pula dikatakan tidak lain dan tidak bukan ialah ayahanda kepada Abdullah Badawi. Sayangnya ilmu menilik bintang dan bulan ini tidak turun kepada Abdullah Badawi maka terpaksalah Pak Dollah kita tidur untuk memimpikan tarikh pilihan raya.

Justeru, dalam budaya United Malay National Organisation, khidmat bomoh ini bukan sesuatu yang asing. Ini bukan fitnah dari saya. Ini bukan cerita dari Haji Desas bin Lebai Desus. Sesiapa yang rajin membaca dan mentelaah akan menyedari bahawa apa yang saya tulis ini adalah fakta sejarah. Ini bukan sejarah silam. Ini berlaku pada tahun 1993 dahulu.

Cuba ingatkan kembali kepada kisah perjuangan seorang penyanyi yang hanya sempat mengeluarkan sebuah album. Malah klip videonya pernah disiar oleh televisyen kita.
Perempuan cun, langsing dan berambut panjang ini gagal menjadi penyanyi pop tetapi bejaya menjadi bomoh. Khidmatnya dikatakan amat amat diperlukan oleh orang-orang politik dalam United Malay National Organisation terutama ketika di tahun pemilihan dan tahun pilihan raya.

Sejarah membuktikan betapa Datuk Mazlan Harun seorang ADUN dari Batu Talam, Pahang yang percaya kepada kuasa tongkat Sukarno. Dengan memiliki rotan pendek yang pernah tersepit di celah ketiak Bung Karno,
YB kita ini berharap dia akan terus dipilih sebagai calon untuk menjadi ADUN. Yang terserlah bijak di sini ialah bomoh Mona Fendy. Minah cun ini cukup faham tentang keberahian politikus Melayu Islam.

Dari fakta perbicaraan kes Mona Fendy ini orang ramai difahamkan bahawa memang ramai politikus United Malay National yang menggunakan khidmat bomoh. Yang diketahui umum hanya seorang berdua tetapi hakikatnya pastilah lebih ramai lagi.

Apa sangkut pautnya fakta sejaran ini dengan pilihan raya umum ke-13? Untuk menjawab soalan ini, para pembaca yang budiman wajib menonton kembali klip video bertajuk "Rosmah Perempuan Puaka" di Youtube.
Dari klip bersejarah ini kita semua diberitahu oleh adik wanita itu  sendiri bagaimana sang kakak telah menggunakan khidmat bomoh. Klip ini juga memuatkan pengakuan isteri bekas tuan speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan.

Bekas isteri tuan speaker ini mungkin tidak sedar bahawa dirinya bukan sahaja membocorkan rahsia wanita itu. Pengakuan ini cukup jelas membuktikan bahawa dia sendiri pernah bersama wanita berkenaan mencari segala macam khidmat bomoh.
Di sini saya ingin menerangkan betapa para pemerhati politik dari luar negara gagal memahami politik Malaysia. Para wartawan dari akhbar dan majalah luar telah beberapa kali memberikan ramalan tentang tarikh pilihan raya.
Banyak pemerhati dari luar yang mengkaitkan tarikh pilihan raya dengan keadaan ekonomi dunia, dengan harga minyak dan dengan kejayaan Najib membuat beberapa kenyataan yang mungkin dilihat menuju ke landasan demokratik.

Pandangan-pandangan dan analisa politik ini ada salah dan ada benar. Mengikut kajian ilmu politik moden maka pastilah kedudukan turun naik ekonomi yang akan menjadi penentu tarikh pilihan raya.
Analisa sebagini amat tepat untuk negara-negara Eropah Barat telah memasuki era pasca Rasputin. Tetapi menggunakan pendekatan ilmu politik moden yang sama untuk memahami keseluruhan politik Malaysia pasti satu kesilapan besar.

Untuk memahami lebih dalam politik kontemperori Malaysia biar saya bawa para pembaca kembali ke zaman Rasputin. Sosok ini hanyalah satu-satunya bomoh yang kewujudannya tercatit dalam sejarah moden Eropah. Malah apa yang dilakukan oleh Rasputin ketika berkhidmat dalam Istana Czar Nicholas juga telah dirakamkan oleh sejarah.

Rasputin boleh keluar masuk istana tanpa larangan. Pemaisuri Alexandra mempercayai Rasputin lebih dari mempercayai penasihat rasminya. Ketika Putera Alexei gering, Pemaisuri Alexandra bukan mencari khidmat doktor tetapi telah meminta Rasputin mengubati anakandanya. Lelaki berambut dan berjanggut panjang diyakini oleh keluarga Czar Nicholas kerana Rasputin dikatakan memiliki ilmu mistik yang dapat melihat masa depan.

Rasputin wujud di detik-detik akhir sebelum monarki dihapuskan di Rusia. Ketika itu rasuah dan penyalahgunaan kuasa sedang berleluasa. Siapa yang kaya dialah yang betul. Di Rusia ketika itu ada dua hukum - satu untuk yang memerintah dan satu lagi untuk yang diperintah. Tidak ada hukum hakam yang dapat mengusik puak yang memerintah.

Apakah para pembaca yang budiman tidak dapat melihat persamaan antara Rusia sebelum menjadi republik dengan apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita hari ini?
Jika para pembaca telah dapat menggambarkan Rasputin keluar masuk ke istana Czar Nicholas dengan menaiki kereta kuda, cuba pula bayangkan bomoh Ji dari Mumbai yang dikatakan keluar masuk dengan Mercedez ke rumah rasmi perdana menteri di Putrajaya.

Kemudian cuba bayangkan rupa bentuk muka Guru Ji yang sedang menilik bulan dan bintang untuk mencari tarikh terbaik untuk Najib mengadakan pilihan raya. Jika masih tidak yakin dengan perbandingan dan tanda-tanda yang saya tulis ini maka sila cari kembali akhbar harian minggu lalu. Buka dan baca berhati-hati. Lihat dan teka berapa ramai agaknya Guru Ji dan Rasputin sedang menjerit-jerit, berdoa dan berbaiah di bangunan PWTC.

Jangan lupa, sebelum Czar Nicholas dan Permaisuri Alexandra cuba melarikan diri dari istana, mereka juga telah berbaiah dengan Rasputin.
Apa yang membezakan Rusia di zaman Rasputin dengan Malaysia di zaman Guru Ji hanyalah satu - lembu di Rusia pada tahun 1917 tinggal dalam kandang manakala lembu di Malaysia pada thun 2011 menginap dalam kondo.

Minda KS : Ingatlah mempercayai sesuatu yang mempunyai kuasa selain Allah adalah syirik. Syirik pula adalah dosa yang tidak diampun.