Pengikut

AGUS SALIM VS UMNO

UCAPAN ANWAR DI TUARAN 29/7/2012

JALAN RAYA DI SABAH

INI KALILAH !!

KALAU BUKAN KITA SIAPA ? KALAU BUKAN SEKARANG BILA ?

Video tembak-menembak di Lahad Datu

Ahad, 18 Disember 2011

KATAK OH KATAK

18 DIS — Istilah “katak” sering kali merujuk kepada seekor haiwan amfibia yang berdarah sejuk, yang mempunyai daya lompatan yang kuat.
Toleh sahaja kepada wajah katak mungkin boleh menyebabkan seseorang itu hilang selera untuk makan mahupun menjadikan mereka fobia untuk menyentuh atau melihat ke arah haiwan berkenaan.
Sudah tentu katak tidaklah begitu menggerunkan dan berbisa jika dibandingkan dengan ular namun katak mempunyai peranannya tersendiri.
Bercakap mengenai katak, mengingatkan penulis dengan katak tetapi katak yang dimaksudkan di sini ialah katak-katak politik dan bukannya katak sembarangan.
Bunyinya mungkin agak pelik sedikit dan sinis. Ada yang bertanya mana mungkin katak boleh berkecimpung dalam arena politik. Tambahan pula, katak tidak berparti, katak juga tidak mengerti untuk berkempen dan katak hanya tahu melompat dari satu tempat ke tempat yang lain.
Memang benar katak tidak berkecimpung dalam politik tetapi sekurang-kurangnya katak mempunyai integritinya tersendiri. Sekurang-kurangnya dia tahu bahawa tugasnya adalah untuk mencari makanan bagi memastikan kelangsungan hidupnya.
Berbanding pula dengan perwatakan katak-katak politik, mereka ini lebih bersifat talam dua muka, oportunis dan boleh berpaling tadah bila mana keadaan semasa tidak memihak kepadanya. Jelas, katak-katak politik sedemikian semakin ketara dalam persada politik negara mutakhir ini.
Bagi katak-katak politik sebegini, melompat parti merupakan satu amalan biasa dan tidak salah selagi ia sesuai dengan kepentingan semasanya. Lagipun, apakah yang lebih penting daripada memastikan kelangsungannya terjamin?
Pokok pangkalnya, usah bercakap mengenai prinsip dengan pemimpin-pemimpin terbabit. Di mata mereka, soal memperjuangkan prinsip hanyalah satu pentas untuk meraih sokongan pengundi pada musim pilihan raya sahaja. Apa yang dicakapnya mungkin berlawanan dengan apa yang dijanjikan sebelumnya. Dan rakyat dari satu sudut pula terpaksa menelan kepalsuan tahun demi tahun hingga kesabarannya mulai terhakis.
Apabila beberapa pemimpin pembangkang yang mengumumkan keluar parti daripada Pakatan Rakyat baru-baru ini atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Lagipun, ke mana mereka boleh pergi selepas melompat parti? Membuka perniagaan sendiri? Ataupun bersara terus?
Lebih menetapi ramalan dalam skrip ini ialah mereka akan seterusnya berkata, mereka tidak mahu rakyat menjadi mangsa. Kepada pemimpin-pemimpin politik ini, mohon janganlah menggunakan rakyat sebagai justifikasi untuk menghalalkan amalan tidak beretika itu.
Apa yang cuba dilakukan oleh katak-katak politik dengan melompat parti membuktikan undi rakyat tidak penting untuk mereka. Ia secara terang-terangan menunjukkan mandat rakyat telah diperlekehkan ke tahap yang begitu rendah.
Apakah pemimpin-pemimpin sedemikian tidak tahu malu dengan perbuatan tidak beretika itu? Wah, bukan main senang nak umum keluar parti lepas itu umumkan nak sertai parti politik yang lain. Apakah mereka ingat bahawa melompat parti semudah menyalin baju baru?
Mereka harus belajar menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat. Undi yang diberikan itu bukanlah kertas kosong semata-mata. Setiap undi yang dipangkah itu yang akan menentukan jatuh bangunnya sesebuah parti politik mahupun pemimpin mereka.
Sokongan yang mereka berikan bermakna mereka percayakan pemimpin yang dipilih itu. Tetapi dengan melompat parti, katak-katak politik itu bukan sahaja telah mengkhianati mandat rakyat bahkan juga memberi gambaran yang cukup buruk terhadap imej pemimpin-pemimpin politik kononnya semua pemimpin politik mempunyai mentaliti sebegitu. Jangan pula selepas ini katak-katak politik melenting kerana rakyat mempunyai pandangan negatif terhadap mereka kerana sentimen negatif itu wujud kerana angkara mereka sendiri.
Sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin begini ditolak keluar dari persada politik negara kerana ia mengaibkan imej pemimpin-pemimpin politik lain yang komited berkhidmat untuk rakyat. Justeru, janganlah disebabkan setitik nila, rosak susu sebelanga. Masih ada pemimpin-pemimpin politik di luar sana yang baik, jujur dan ikhlas untuk berkhidmat walaupun tidak sebanyak mana.
Sesungguhnya, rakyat lebih rela menerima seorang katak yang bermaruah daripada katak yang hanya pandai mengambil kesempatan, menabur janji-janji kosong dan mengaibkan profesion yang diceburinya sendiri.
Katak oh katak!
* Segala pandangan yang diberikan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis. --Markus Lim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan