KEADILAN Sabah melantik tiga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) iaitu Datuk James Ghani, Christina Liew dan Datu Mustapha Tambuyong.
Manakala Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Dr Roland Chia Ming Shin dilantik sebagai Setiausaha Negeri.
Pelantikan itu diumumkan Presiden KEADILAN yang juga Pengerusi Interim parti di negeri itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Penampang 26 Jun lalu.
James Ghani dan Christina Liew, kedua-duanya merupakan peguam, selain masing-masing menjawat Ketua Cabang Papar dan Ketua Cabang Kota kinabalu.
Manakala Mustapha merupakan graduan dari Amerika Syarikat merangkap Ketua Cabang Kinabatangan serta Roland Chia adalah doktor di negeri itu.
Sementara itu, James yang dihubungi Suara Keadilan memberitahu, pelantikan itu berkuatkuasa serta merta dari tarikh pelantikan.
“Datuk Seri Presiden juga mengingatkan kami bahawa pelantikan ini harus disusuli dengan kerja keras dengan memperkuatkan parti diperingkat negeri dan cabang masing-masing.
“Saya menghargai kepercayaan yang diberi parti dan semasa mesyuarat itu juga, Datuk Seri Presiden akan terus memimpin parti sehingga Pilihan Raya Umum akan datang dengan setiap pimpinan yang hadir menyokong penuh keputusan itu,” katanya.
Menurut James, berkemungkinan selepas ini, KEADILAN Sabah akan membentuk bironya tersendiri.
“Pembentukan biro belum diputuskan, mungkin pada mesyuarat akan datang,” katanya yang pernah dilantik sebagai Timbalan MPN semasa parti itu mula mengembangkan pengaruhnya di Sabah pada 1998.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan