Pengikut

AGUS SALIM VS UMNO

UCAPAN ANWAR DI TUARAN 29/7/2012

JALAN RAYA DI SABAH

INI KALILAH !!

KALAU BUKAN KITA SIAPA ? KALAU BUKAN SEKARANG BILA ?

Video tembak-menembak di Lahad Datu

Ahad, 17 Jun 2012

ANTARA RAFIZI DAN TEE KEAT SIAPA PILIHAN ANDA ?















Ehsan: Malaysian Insider


17 JUN — Awal minggu ini, kita digegarkan dengan desas-desus atau cakap-cakap bahawa Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR). Rafizi Ramli akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 di Pandan. 
Sudah pasti, ada yang akan bertanya mengapa beliau memilih Pandan dan bukannya kawasan Parlimen yang lain. Apa yang menyebabkan Rafizi memilih untuk bertanding di Pandan, hanya beliau dan pucuk kepimpinan parti yang mengetahuinya. 
Dari satu perspektif, pemilihan untuk bertanding di Pandan dilihat sebagai satu percaturan strategik memandangkan P100 Pandan merupakan sebuah kawasan yang dikategorikan sebagai sebuah kerusi campuran atau mixed seat. 
Sekali imbas, komposisi penduduk bagi kawasan Parlimen P.100 Pandan agak seimbang dengan majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu dan Cina. Manakala selebihnya ialah orang India. Komposisi penduduk yang begitu seimbang inilah yang menjadi cabaran kepada semua wakil rakyat. Kepelbagaian keperluan menuntut strategi berbeza-beza. Pada beliau, kawasan Parlimen yang bersifat campuran inilah yang akan memberikan kelebihan kepada dirinya. 
Personaliti dan karisma Rafizi sebagai seorang pedebat yang handal (mungkin setanding atau lebih baik daripada Khairy Jamaluddin) dan orang yang bertanggungjawab membongkar skandal NFC, secara tidak langsung melonjakkan dirinya sebagai seorang pemimpin berani. Personaliti dan sikap sedemikian nampaknya lebih berjaya menambat golongan profesional dan berpendidikan tinggi kerana mereka mempunyai idealismenya yang tersendiri. 
Generasi belia atau dikenali dengan Gen Y lazimnya mempunyai pemikiran dan stail yang lebih terbuka dan sesungguhnya pencalona Rafizi adalah sesuatu yang ideal. Gen Y ini mahukan suatu kepimpinan yang berlainan dan ini mungkin masanya untuk melakukan perubahan. Rafizi bukannya bodoh. Beliau pasti akan menggunakan kelebihan sedia ada pada dirinya sebagai seorang yang lantang untuk memikat hati pengundi. 
Beliau juga tahu bahawa untuk menewaskan seorang gergasi politik seperti Tee Keat, ia memerlukan percaturan yang bijak dan masa yang sesuai. Itu sebabnya Rafizi ketika ini memilih untuk merendah diri dengan tidak menyerang Tee Keat dari sepak mula. Sebaliknya, pujian tetap diberikan kepada bekas Presiden MCA yang telah membina asas yang kuat di Pandan. 
Malah ketika memberi reaksi balas kepada kenyataan Tee Keat mengenai kemungkinan mereka berdua berdebat dalam satu temubual di sebuah stesen televisyen tempatan, Rafizi tidak memberikan komitmen kepada cabaran itu. Sekalipun berita yang diuar-uarkan itu hanyalah khabar angin dan tiada pengesahan dibuat, tetapi ia sudah cukup untuk mencetuskan perbualan hangat mengenai nasib dan masa depan penyandang kerusi Pandan itu. 
Persoalan yang paling hangat diperkatakan dalam media dan laman sosial sekarang cukup pelbagai. Antara yang dibangkitkan ialah apakah Tee Keat mampu menangkis pengaruh dan populariti Rafizi yang terkenal dengan kemahiran debatnya yang tinggi? Mungkinkah kehadiran Rafizi dan amarah keterlaluan kepada pihak pemerintah terlalu kuat untuk ditepis oleh Tee Keat? Mengapakah pengundi mahu menukar seorang wakil rakyat yang telah banyak berjasa kepada bumi Pandan dan penduduknya (jika itulah yang ditakdirkan berlaku)? Dan mungkin soalan cepu emas yang ingin diketahui oleh semua orang ialah apakah Tee Keat akan bertanding di bawah panji BN ataupun platform lain? 
Hingga ke hari ini, Tee Keat memilih untuk tidak mendedahkan perancangan beliau, sebaliknya hanya membiarkan media untuk terus berteka-teki. Mutakhir ini, masih awal lagi untuk meramalkan impak yang bakal ditinggalkan oleh Rafizi. 
Semua sedia maklum Rafizi merupakan orang baru dalam pentas politik negara. Beliau perlu menyedari bahawa berkecimpung dalam politik kepartian dan menjadi wakil rakyat yang memerlukan adalah dua perkara yang berlainan. Dalam dunia politik kepartian umpamanya, beliau boleh menggunakan kelebihan yang ada padanya untuk meraih sokongan di mata rakyat. Namun sekadar membongkarkan skandal berprofil tinggi seperti NFC bukanlah tiket automatik sebagai calon ataupun menang. Bertanding dalam sebuah kawasan Parlimen yang telah dikuasai begitu lama oleh BN, tidak ada jaminan Rafizi akan memenangi PRU 13 dengan mudah seperti yang didakwa beliau sebelum ini. Lagipun, lawan beliau bukanlah calang-calang pemimpin tetapi lawannya ialah Ong Tee Keat. 
Selama 22 tahun Tee Keat berkhidmat untuk rakyat Ampang dan Pandan..namanya begitu sinonim di sana. Selama lebih dua dekad berkhidmat sebagai wakil rakyat, beliau telah membawa bersamanya keyakinan, pengalaman, dan suara hati rakyat. 
Menumbangkan beliau tidaklah semudah A, B atau C. Jika ada yang tidak percaya, mereka boleh merujuk kepada pilihan raya 1989 yang mana Tee Keat berjaya menewaskan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris walaupun tidak diberikan peluang pada awalnya. 
Kekalahan Harun Idris kepada Tee Keat sememangnya mengejutkan banyak pihak. Siapa sangka Tee Keat boleh menewaskan Harun Idris sedangkan beliau masih orang baharu dalam politik. Itulah indahnya politik. Sentiasa menjangkakan sesuatu yang tidak dijangka akan berlaku. 
Mungkin selepas ini, Rafizi boleh belajar daripada Tee Keat bagaimana untuk mengulangi kemenangan bersejarah itu jika mereka berdua benar-benar akan berentap pada PRU 13 nanti. Agak menarik juga, apabila Rafizi mendakwa Tee Keat tidak mungkin dapat mempertahankan kerusinya dalam gelombang tsunami kali ini. 
Di sini, jelas kelihatan bahawa Rafizi seolah-olah sudah memahami benar suara hati dan nadi penduduk Pandan. Bagaimanapun jika Rafizi menganggap dengan memainkan isu setempat akan mengubah sentimen penduduk di Pandan, beliau mungkin silap. 
Sentimen di Pandan dilaporkan masih kuat dan memihak kepada penyandangnya. Prestasi Tee Keat dilihat masih utuh dan khidmat yang diberikan kepada penduduk tidak mengenal bangsa mahupun agama. Sokongan oleh NGO-NGO tempatan di Pandan kepada kepimpinan turut menjadi faktor mengapa penduduk setempat di sana masih menyokongnya walaupun parti yang diwakilinya MCA sudah ditolak masyarakat Tionghua. 
Satu lagi perkara yang mungkin akan menjadi faktor penentu kepada kemenangan atau kekalahan Rafizi ialah isu calon tempatan. Bercakap mengenai soal ini, isu calon tempatan sering kali berbangkit dalam pilihan raya. Walaupun faktor ini tidaklah membabitkan kesemua 222 kawasan Parlimen dan 505 Dewan Undangan Negeri, namun sesetengah penduduk menyifatkan calon tempatan sebagai faktor penting. 
Bagi penduduk, mereka berasa sangsi dengan kehadiran calon luar untuk bertanding di tempat lain. Pada hemat mereka, apakah yang calon luar ini tahu mengenai selok-belok kawasan Parlimen mereka? Bukan sekadar mengetahui selok-belok kawasan, bahkan untuk menjalin kerjasama, jaringan hubungan bukanlah sesuatu yang mudah. Sama ada bumi Pandan akan kekal bersama BN atau sebaliknya, pengundi Pandan sahaja yang akan dapat menentukannya.Tetapi apa yang pasti, pertembungan antara dua tokoh ini akan menjanjikan saingan yang hebat. Seorang gergasi politik dan seorang lagi pula seorang pemimpin dari generasi Y yang meningkat naik. 
Beranikah penduduk Pandan menaruh dan menggadaikan masa depan mereka kepada seorang pemimpin muda yang meningkat naik ataupun mereka memilih untuk kestabilan dan seorang wakil rakyat yang telah terbukti rekod perkhidmatannya? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan