BERBELAS-BELAS tahun dahulu, jenama Jeep dari Amerika Syarikat (AS)
banyak di atas jalan raya di Malaysia. Model paling popular ialah
Cherokee dan Wrangler. Tidak bertahan lama, jenama tersebut nampaknya
terus pudar. Apa yang tinggal sekarang hanyalah model-model terpakai di
laman web jual-beli barang.
Mungkin kerana pengeluarnya yang hanya menfokuskan kepada enjin
sesaran besar menyebabkan Jeep tidak mesra poket pembeli untuk mengisi
minyak dan membayar cukai jalan tahunan.
Tambahan pula rakyat Malaysia lebih menggemari jenama Jepun
berbanding jenama negara lain. Harus tahu, Toyota Hilux sudah lama
menjuarai carta jualan jenama asing paling laris dalam negara.
Jenama Jeep di pasaran luar negara masih hidup. Pasarannya masih
wujud untuk Jeep menawarkan model-model baharu. Varian terbaharu Jeep
ialah Grand Cherokee SRT yang memiliki penampilan agresif dan maskulin.
Roda aloinya besar sungguh iaitu bersaiz 20 inci. Badannya
direndahkan, manakala ruang dalamannya diinspirasikan daripada stail
perlumbaan. Dakwa Jeep, Grand Cherokee SRT adalah varian yang paling
mantap pengendalian dan pemanduannya.
Kualiti itu dapat dicapai hasil daripada penggunaan suspensi Active
Adaptive dan sistem kawalan cengkaman (traction) Selec-Track dengan lima
jenis mode dinamik.
Sistem pacuan empat rodanya (4X4) dikoordinasikan oleh transfer case
Quadra-Trac Active on Demand dengan bahagian belakang dipasang
Electronic Limited-slip Differential (ELSD). Untuk pemberhentian
berkesan, Grand Cherokee SRT menggunakan khidmat brek Brembo dengan ABS
pada keempat-empat rodanya.
Model SRT turut didatangkan dengan spesifikasi tinggi yang dijadikan
sebagai peralatan standard. Cermin surianya terdiri daripada dua
bahagian. Sementara sistem multimedia pula merangkumi sistem navigasi
dan maklumat hibur (infotainment) Uconnect Navigation.
Sistem audio canggih surround sound system berkuasa 825 watt pula
diambil daripada jenama Harman Kardon. Sistem audio tersebut disokong
oleh 19 unit pembesar suara dan satu subwoofer yang juga daripada Harman
Kardon.
Untuk pemanduan yang lebih selamat, turut dipasang ialah Adaptive
Cruise Control yang berfungsi mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan
di hadapan.
Masih tidak cukup, Jeep memasang sistem Forward Collision Warning
yang memberi amaran ancaman objek atau kenderaan di hadapan. Blind Spot
Detection pula mampu mengesan objek pada kedua-dua sisi kenderaan.
Jimat minyak
Rear Cross-path Detection berperanan mengesan objek di belakang
kenderaan yang sememangnya amat membantu sewaktu mengundur kenderaan
untuk keluar atau masuk ke petak parkir.
Bab paling seronok apabila bercerita tentang kenderaan AS ialah saiz
enjinnya. Jeep Grand Cherokee SRT dikuasakan oleh enjin serba baharu
HEMI bersesaran 6.4 liter V8.
Cuba anda bandingkan dengan Perodua Kancil. Berapa kali ganda saiz enjin itu dan berapa pula penggunaan minyaknya?
Namun kata Jeep, enjin HEMI tersebut mempunyai teknologi Fuel Saver
yang mematikan empat daripada lapan silinder apabila kuasa penuh tidak
diperlukan demi memastikan penggunaan minyak yang efisyen dan
pengurangan emisi.
Janaan kuasa enjin V8 itu pula adalah sebanyak 461bhp dengan 624Nm
tork yang dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan. Lagak
jentera litar dan mengikut trend semasa, paddle shifter dipasang pada
stereng.
Cerita kuasa enjin belum habis lagi tanpa data prestasi. Jeep Grand
Cherokee SRT dikatakan mampu mampu mencapai pecutan dari titik pegun ke
100km hanya dalam masa lima saat sahaja. Sementara kelajuan maksimumnya
pula mencecah 257.5 kilometer sejam (km/j).
Mungkin untuk lebih bertanggungjawab, Jeep turut memasukkan data
prestasi brek iaitu dari kira-kira 100km/j hingga sifar hanya memerlukan
35.3 meter untuk dihentikan sepenuhnya.
Jeep Grand Cherokee SRT merupakan satu pakej yang menggabungkan gaya
eksklusif, kefungsian, kemampuan meredah laluan normal dan off road
dengan penampilan sporty serta berprestasi tinggi. Jentera tersebut
dibangunkan oleh pasukan Street and Racing Technology (SRT) kumpulan
Chrysler.
Suka untuk saya kongsi, falsafah SRT dalam membina kenderaan terdiri
dari lima prinsip utama iaitu fungsi, stail dan ruang kabin yang
diinspirasi daripada perlumbaan, pengendalian, pemanduan cemerlang,
prestasi brek yang bagus dan akhir sekali enjin mengagumkan.
Menyentuh tentang harganya pula, Jeep Grand Cherokee SRT boleh
dimiliki pada harga £58,995 di United Kingdom (UK) atau kira-kira
RM293,000. Sebenarnya Grand Cherokee SRT bukanlah SUV yang pelik untuk
kita kerana di Kuala Lumpur atau bandar bandar besar lain sudah ada
Hummer. Itu pun dari AS dan spesis yang memiliki enjin besar!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan