30 JUN — Dalam politik anak dan bapa juga ada yang tidak sehaluan.
Dalam interview Dr Mahathir Mohamad dengan MobTV, beliau telah menegur
anaknya Marina supaya berhati-hati dengan tindak tanduknya (Marina)
kerana tindak tanduk Marina itu akan menjejaskan parti pemerintah iaitu
Umno serta menjejaskan juga politik ahli keluarga beliau.
Dr Mahathir begitu sangsi yang tindakan Marina bergiat dan menyokong
Bersih 3.0 dan Bersih yang sebelumnya itu akan menjejaskan politik
adiknya Muhkriz.
Pandangan Dr Mahathir terhadap anaknya itu ada benar dan salahnya.
Jika Dr Mahathir lebih memikirkan politik peribadi dan keluarga beliau
maka kata-kata beliau itu benar dan betul seratus peratus.
Memang banyak pun yang memberi pandangan yang Dr Mahathir ini tidak
payah diambil pusing nasihat dan kata-katanya kerana anak beliau sendiri
telah menunjukkan sikap “anti establishment” dan Marina telah
menunjukkan banyak contoh sikap tidak sehaluan dengan kerajaan Barisan
Nasional sekarang ini.
Tetapi jika Dr Mahathir mampu memandang dari sudut lain, iaitu sudut
memperjuangkan kebenaran, apa yang dilakukan oleh Marina itu patut
direstui oleh Dr Mahathir kerana beliau sepatunya faham yang Marina itu
adalah pejuang kepada tuntutan yang di perjuangkan oleh Bersih dan
banyak NGO-NGO yang lain. Dr Mahathir sepatutnya merasa bangga dengan
ketegasan anak perempuannya itu jika beliau (Dr Mahathir) mengakui
kebenaran yang diperjuangkan oleh Marina itu.
Tetapi nampaknya Dr Mahathir lebih cenderung untuk menjaga
kepentingan politik anak lelakinya, Mukhriz dan beliau tidak
pertimbangkan kebenaran yang diperjuangkan oleh Marina yang mendapat
perhatian banyak pihak sambil memberikan sokongan kepada pejuang
reformasi pilihanraya itu.
Bagi Dr Mahathir kebenaran dalam isu ini ialah menjadikan Mukhriz
sebagai pemimpin politik besar dan sebesar mana pun kebenaran yang
diperjuangkan oleh anak perempuannya Marina itu tidak mendapat perhatian
beliau.
Bagi Dr Mahathir kebenaran itu ialah kuasa dan tidak yang lain.
Mahathir semalam mengakui yang beliau akan menyokong Mukhriz jika Umno
menurunkan anak emasnya itu bertanding disalah satu kawasan DUN di Kedah
untuk menjadi Menteri Besar Negeri Jelapang Padi itu.
Niat Dr Mahathir untuk meninggalkan warisnya dalam politik tanah air
itu sememangnya telah dihidu oleh semua orang dan pengakuan beliau itu
tidak mengejutkan sesiapa. Malahan mata Dr Mahathir akan tertutup rapat
jika beliau meninggal dunia selepas melihat anaknya itu menjadi orang
besar negara seperti beliau. Tuduhan ramai terhadap Dr Mahathir yang
beliau membuat “bising” sekarang ini adalah untuk kepentigan keluarga
beliau.
Dr Mahathir tentunya mahukan anaknya menjadi seperti Najib dan
Hishamuddin yang kedua-duanya adalah anak-anak kepada bekas Perdana
Menteri negara. Jika Dr Mahathir berjaya untuk menjadikan anaknya itu
pemimpin besar dan akhirnya menjadi Perdana Menteri maka beliau akan
berjaya untuk menyambung tradisi yang pemimpin-pemimpin yang akan
datang mesti datang dari keluarga bekas-bekas Perdana Menteri.
Itulah sebabnya Dr Mahathir begitu marah apabila Mukhriz mendapat
nombor tercorot dalam pemilihan Ketua Pemuda Malaysia apabila undi
beliau jauh kebelakang dari undi-undi yang diperolehi oleh Khairy dan
Khir Toyo dalam pertandingan itu. Yang Dr Mahathir marah sekali ialah
terhadap menantu Pak Lah yang telah berjaya mendapatkan undi tertinggi
dalam pemilihan Ketua Pemuda itu.
Akhirnya Marina sendirilah yang berhak untuk memilih diantara
kebenaran atau politik adik beradik dalam isu ini. Jika Marina memilih
untuk mencari kebenaran maka tindakan beliau sekarang amatlah benar dan
betul.
Tetapi jika Marina memilih untuk mementingkan politik bapanya dan
adik beradiknya eloklah beliau (Marina) mengikut sahaja kata-kata
ayahanda beliau itu. Tetapi saya yakin Marina akan terus memilih
kebenaran kerana saya rasa beliau tahu yang kebenaran itu akan timbul
akhirnya.
Tetapi jika Marina mengikut kehendak bapanya itu janganlah putuskan
hubungan baik dengan Ambiga Sreenevasan yang telah terjalin begitu rapat
selama ini. Marina dan Ambiga itu bersahabat baik. Baiknya Ambiga
dengan Marina itu seperti orang “bertambat bulu”. Itu kata orang tua-tua
dahulu. — aspanaliasnet.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan