JOHOR BAHARU, 14 Julai — Tan Sri Muhyiddin
Yassin mahu Barisan Nasional (BN) Gelang Patah berusaha habis-habisan
dalam mempertahankan kerusi Parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya
ke-13 (PRU-13) yang menurutnya akan berlangsung "tidak lama lagi."
Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN berkata
kerusi Parlimen Gelang Patah perlu dipertahankan kerana ia menempatkan
pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor iaitu Nusajaya.
"Saya meminta setiap anggota Umno Bahagian Gelang Patah dan anggota
komponen BN mempertahankan habis-habisan Parlimen Gelang Patah. Tidak
ada masa untuk
istirahat lagi, kita kena kerja keras 24 jam sehari untuk memastikan kemenangan (BN)," katanya hari ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian ketika
merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Gelang Patah, yang turut
dihadiri ketua bahagiannya Datuk Abdul Aziz Sapian.
Parlimen Gelang Patah yang kini disandang oleh wakil rakyat BN, Tan
Ah Heng daripada MCA, turut terdiri daripada kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Nusajaya dan DUN Skudai. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan