Oleh : MUTALIB M.D
PENAHANAN Yang Dipertua
Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan, Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman di bawah Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sewajarnya membuka
mata semua pihak, terutama penerima pingat kebesaran daripada Kesultanan Sulu.
Ketua Penerangan AMK Parti
Keadilan Rakyat Sabah, Citra Masadi berkata demikian ketika menghubungi
Sabahkini.net sebentar tadi yang menyokong tindakan pihak Polis menahan Ridzwan
di bawah SOSMA.
"Para penerima pingat
darjah kebesaran Kesultanan Sulu sebenarnya adalah pengkhianat negara kerana
membiayai keganasan dan sekaligus menderhaka kepada DYMM Yang DiPertuan
Agong," kata Citra yang merujuk salah seorang penerima pingat berkenaan
ialah Datuk Seri Utama Mohd Jeffry Rosman, Pengerusi Pribumis.
Citra memetik kenyataan Datu
Mudarasulail Kiram yang disiarkan Berita Harian pada 27 Februari 2009 bahawa Darjah
Kebesaran Kesultanan Sulu Dijual antara RM80,000 sehingga RM220,000 oleh pihak
tertentu di Malaysia.
Dalam laporan akhbar
berkenaan, kata Citra, seorang lelaki yang mendakwa waris Kesultanan Sulu
mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan majlis penganugerahan
darjah kebesaran Kesultanan Sulu yang akan diadakan di sebuah hotel di Kuala
Lumpur pada 28 Februari tahun yang sama.
Kata Citra, akhbar berkenaan
juga melaporkan bahawa Mudarasulail Kiram mendakwa, kononnya Sultan Sulu akan
menganugerahkan lima jenis darjah kebesaran Kesultanan Sulu kepada penerima
yang didakwanya `membeli' anugerah berkenaan.
Majlis yang kononnya
dianjurkan Sultan Sulu itu tidak akan diadakan kerana Sultan Sulu yang sebenar
tidak wujud selepas kematian Sultan Mohd Mahakuttah A Kiram yang memerintah
dari 1972 hingga 1986.
"Jika benar kesultanan
itu masih wujud, saya percaya pemberian darjah kebesaran itu dibuat secara
terpilih berdasarkan sumbangan mereka kepada kerajaan, bukan menjualnya dengan
harga tertentu," kata Mudarasulail sebagaimana yang disiarkan Berita
Harian.
Kata Citra, Mudarasulail
mendakwa, darjah Datuk Seri Panglima Diraja Sulu (SPDS) ditawarkan pada harga
RM220,000; selain Datuk Bendahara Diraja Sulu (DBDS) (RM150,000); Datuk Paduka
Diraja Sulu (DPDS) (RM120,000); Datuk Pangeran Sultan Sulu (DPSS) (RM80,000)
dan Datin Seri Sultan Sulu (DSSS) (RM80,000).
Menurut Citra, pihaknya
mendapat tahu bahawa Setiausaha sulit Sultan Rodinood Kiram, Datuk Eddy Thomas dan
Penasihat Sultan Jamalul Kiram III, Dato Onn Ariffin yang terlibat menjaja
Darjah Kebesaran Kesultanan Sulu 'yang tiada kedaulatan' itu.
"Polis sewajarnya turut
menjejaki Dato' Onn Ariffin bagi membantu siasatan kerana penglibatan beliau
sebagai Penasihat Khas Sultan Sulu Paduka Mahashari Maulana al Sultan Mohammad
Jamalul Kiram III ibni Almarhum Sultan Punjungan al Shariful Hashim yang kini
dilabelkan sebagai Ketua Pengganas dalam insiden Tanduo," ujar Citra yang
percaya Onn telah melarikan diri dan bersembunyi di Jakarta.
Kata Citra, Onn sepatutnya
bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia sekiranya beliau tidak terlibat dan tidak
bersalah dengan Insiden Tanduo kerana kedudukan beliau sebagai Penasihat Khas
kepada Jamalul Kiram III.
"Kita kesal kerana Onn
adalah suami kepada Mantan Menteri Kabinet Sabah, Datuk Dayang Mahani Ahmad
Raffae telah bertindak sebagai Penasihat Khas Jamalul Kiram III dan menjadi
pengiring Sultan Palsu berkenaan ketika Majlis Pernikahan anak DYMM Yang
di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir tahun
lalu," kata Citra yang mendesak Pesuruhjaya Polis Sabah tidak memilih bulu
dengan memanggil Onn Ariffin memberi keterangan sama ada beliau terlibat atau
tidak dalam Insiden Tanduo dan Ops Daulat.
Polis juga kata Citra,
sewajarnya memanggil kesemua penerima darjah kebesaran Sulu di Malaysia
terutama daripada Jamalul Kiram III dan semua Sultan Palsu yang lain kerana
bersubahat dan membiayai keganasan.
"AMK menyifatkan semua
penerima Darjah Kebesaran Sulu, terutama yang membeli pingat Dato Seri Utama
atau Dato Seri Panglima agar tampil memberi keterangan secara sukarela bagi
membantu polis menghapuskan keganasan di Sabah," kata Citra yang memiliki
senarai 300 penerima Darjah Kebesaran Sulu yang akan dikemukakan kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan