20 DIS — Berdegar-degar sungguh pembangkang untuk menjadikan Borneo sasaran utama mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Terbaru, semasa wacana anjuran Sinar Harian beberapa hari lepas, salah seorang pemimpinnya menarik perhatian — kunci kemenangan pembangkang bergantung kepada penguasaan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak. Katanya, jika pembangkang tidak dapat menguasai satu pertiga daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah dan 31 kerusi lagi di Sarawak, agak sukarlah bagi mereka menawan Putrajaya.
Ungkapan itu seolah-olah membayangkan tugas pembangkang untuk menguasai kerusi-kerusi Parlimen di Semenanjung “tidaklah susah sangat”. Jadi, Sabah dan Sarawak kini sasaran mereka. Kalau dengan lain perkataan, nada sentimen ke arah kemenangan pembangkang agak tinggi.
Di sebalik kenyataan pemimpin pembangkang itu, sewajarnyalah para pemimpin parti komponen BN dan ahlinya mengambilnya sebagai satu cabaran cukup besar untuk memastikan mandat parti pemerintah itu di dua negeri Malaysia Timur itu terus kekal status quonya.
Masih ingatkah lagi dengan penegasan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini — perlu kerja luar biasa untuk memastikan kemenangan. Masakan parti-parti komponen lupa akan amanat yang cukup besar itu kerana ia dibuat atas platform tonggak BN itu untuk menghadapi ibu segala pilihan raya tersebut.
Marilah kita analisis sedikit kemenangan BN di Sabah pada 2008. Di beberapa kerusi Parlimen dan DUN, BN cuma menang dengan majoriti yang cukup tipis.
Di kerusi Parlimen Sandakan, calon BN di situ iaitu Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong agak bernasib baik ekoran ketidaksepakatan calon DAP, Shanty Chong Chui Lin dan calon Bebas, Fong Vun Fui.
Liew memperoleh 8,297 undi berbanding Chong (8,121) dan Fong (2,929), sekali gus membolehkan BN merampas semula kerusi berkenaan dengan undi majoriti hanya 176.
Di DUN Kepayan (dalam Parlimen Penampang) pula, calon BN yang juga calon tunggal MCA, Datuk Edward Khoo Keok Hai memperoleh 6,162 undi manakala calon DAP, Stephen Jacob Jimbangan (4,100) dan calon PKR, Datuk Chau Chin Thong @ Chau Chin Tang (3,658). Di DUN Kuala Penyu (dalam Parlimen Beaufort), calon BN, Teo Kwan Chin @ Teo Mau Sing merampas semula kerusi berkenaan daripada calon Bebas yang juga penyandang, Datuk Johan @ Christopher O.T. Ghani. Bagaimanapun, Teo yang memperoleh 4,416 undi hanya menang dengan undi majoriti 257 berbanding Ghani (4,159 undi) dan calon PKR, Guandee Koh Hoi (889 undi).
Di DUN Bingkor (dalam Parlimen Keningau), peluang Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk merampas kerusi itu daripada penyandang, Justin Guka dari BN, digagalkan dengan kehadiran dua calon Bebas, masing-masing Victor Leornadus @ Victor Leonardus dan Uling @ Thomas Anggan. Jeffrey tewas dengan kekurangan 171 undi. Victor memperoleh 129 undi manakala Uling memperoleh 164 undi.
Jika kedua-dua calon Bebas itu memberi laluan kepada Jeffrey untuk berdepan dengan Justin, besar kemungkinan DUN Bingkor dirampas pembangkang. Keadaan sama dapat dilihat di DUN Inanam, Likas, Luyang dan Merotai. Ketidaksepakatan calon DAP, PKR dan Bebas menyebabkan calon BN menang di kawasan berkenaan.
Pada pilihan raya itu, BN mengekalkan penguasaan di 59 kerusi DUN dan 24 kerusi Parlimen. Ia menyamai prestasi pada Pilihan Raya Umum 2004 tetapi pada 2008 itu menyaksikan BN terlepas genggaman di kerusi DUN Sri Tanjong (dalam Parlimen Tawau) dan Parlimen Kota Kinabalu.
Begitupun, selain DUN Sri Tanjong, ada sekurang-kurangnya enam lagi kerusi DUN yang tampak seolah-olah mampu dirampas pembangkang iaitu Kepayan, Kuala Penyu, Bingkor, Inanam, Likas, Luyang dan Merotai. Ini berdasarkan undi diperoleh calon pembangkang yang bertelagah, tetapi turut bertanding di kerusi sama.
Demikian juga di Sarawak, jika BN tak cukup bersiap-siaga, kemungkinan masa depan yang agak gelap terpaksa ditempuh.
BN Sarawak ketika ini memiliki 29 kerusi Parlimen dan baki dua kerusi lagi milik DAP. Dan jika disingkap keputusan di kesemua 71 kerusi DUN Sarawak pada Pilihan Raya negeri April lalu, ia memberi gambaran sekiranya undi-undi yang dijumlahkan di peringkat DUN diselaraskan bagi Parlimen, BN berkemungkinan besar kehilangan sehingga 10 kerusi Parlimennya di Bumi Kenyalang kepada DAP dan PKR dalam PRU13.
Dengan kemenangan 13 kerusi DAP dalam pilihan raya Sarawak baru ini, jelas sekali kerusi Parlimen yang dimiliki sekarang iaitu Kuching akan terus kekal dalam PRU13 nanti. Ini kerana kerusi-kerusi DUN di bawah Parlimen Kuching seperti Pending dan Padungan dimenangi oleh DAP. Di bawah Parlimen Sibu, dari tiga kerusi DUNnya, DAP menang besar di DUN teramai pengundi iaitu di DUN Pelawan meskipun dua DUN lagi iaitu Bawang Assan dan Nangka dimenangi masing-masing oleh SUPP dan BN. DAP memang kalah di Bawang Assan tetapi tipis.
Namun begitu, menjumlahkan undi yang diterima oleh BN dan pembangkang di ketiga-tiga DUN di sini menampakkan keadaan menjadikan Sibu kawasan Kelabu bagi kedua-dua pihak. Jumlah diperoleh oleh BN di Parlimen Sibu ialah 21,953 undi manakala PR pula mendapat 21,234 dengan majoriti 719.
Dengan keputusan pilihan raya negeri itu, DAP dikatakan mampu merampas sehingga lima kerusi Parlimen Sarawak di dalam PRU13. Antaranya, kerusi Parlimen Stampin, Sarikei, Lanang dan Miri serta Bintulu.
Bagi Parlimen Stampin, pembangkang telah memenangi dengan undi banyak di DUN Batu Kawah dan Kota Sentosa melalui DAP dan DUN Batu Lintang melalui PKR. Di Parlimen Sarikei pula, kedua-dua kerusi DUNnya iaitu Repok dan Maradong dimiliki melalui DAP manakala di Parlimen Lanang, DAP menguasai kedua-dua DUN Bukit Assek dan menang tipis di DUN Dudong. Lonjakan penguasaan di Lanang adalah disebabkan populariti penyandangnya, Wong Ho Leng yang juga Ketua Pembangkang DUN Sarawak dan ahli Parlimen Sibu yang memperolehi majoriti melebihi 8,000 undi di DUN Bukit Assek.
Di Parlimen Miri pula, di mana salah satu kerusi DUNnya iaitu DUN Piasau yang menyaksikan kekalahan Presiden SUPP/BN, Tan Sri George Chan (kini bekas presiden) kepada calon muda DAP, Ling Sie Kiong. Dua DUN lagi, Pujut dan Senadin masing-masing dimenangi oleh DAP dan BN. Di DUN Senadin, PKR mewakili PR hanya kalah tipis 58 undi kepada calon BN.
Sementara itu, kedudukan “kelabu” bagi DAP untuk menang mampu dicapai di Parlimen Bintulu meskipun dua daripada tiga DUNnya dimenangi oleh BN di Jepak dan Kemena. DAP berjaya mengekalkan kerusi DUN Kidurong dengan menambah majoriti sehingga 7,000 undi jika dibandingkan dengan majoriti sebanyak 1,664 pada PRN 2006.
Bagi PKR pula, dengan meningkatkan penguasaan mereka di tiga kerusi DUN dan pertambahan undi di banyak kerusi DUN yang mempunyai komposisi pengundi Cina dan di kawasan bandar juga membolehkan mereka memberi cabaran kepada BN Sarawak dalam PRU akan datang. Tentangan yang dikatakan boleh mencabar BN ialah di Parlimen Saratok di mana salah satu DUNnya dimenangi oleh PKR di DUN Krian dan satu lagi DUN Kelaka yang dimenangi oleh BN.
Apa yang boleh dirumuskan pada pilihan raya Sarawak April lalu ialah BN menang tetapi presiden-presiden komponennya semua hilang majoriti. BN mengekalkan penguasaannya di banyak kerusi meskipun majoriti yang diraihnya jatuh banyak.
Namun, analisis tadi adalah “di atas kertas”. Tetapi tidak mustahil jika itulah risiko yang terpaksa ditanggung oleh BN jika amanat Najib baru-baru ini tidak disegerakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan