KUALA LUMPUR, 12 Dis ― Pakatan Rakyat (PR) mempertingkatkan usaha untuk menawan Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13, sementara pemimpinnya telah mengenal pasti Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas sebagai bakal calon jawatan menteri besar.
The Malaysian Insider difahamkan, wakil rakyat PKR itu telah disenarai sebagai antara calon berpotensi untuk mengetuai jawatan tertinggi negeri jika PR dapat mengatasi kerajaan negeri BN.
“Beliau merupakan pemimpin kanan di negeri, ahli politik veteran, berpengalaman. Ia belum muktamad, tetapi beliau antara beberapa nama PR sedang mempertimbangkan,” kata seorang pemimpin kanan PR kepada The Malaysian Insider.
“Saya tidak fikir PKR akan ada masalah dan parti-parti lain perlu berbincang sebelum menerimanya, tetapi buat masa sekarang beliau merupakan calon utama,” katanya lagi.
Pemimpin PR itu menambah, langkah menyenarai pendek nama Ahli Parlimen Teluk Kemang menunjukkan bahawa perikatan tersebut sudah bersedia untuk bertapak dengan kukuh di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13.
“Negeri Sembilan dalam fokus kami, memandangkan kami kalah dengan tipis dalam pilihan raya umum lalu. Kami tidak kata kemenangan yang mutlak, tetapi ada peluang yang baik di sana,” kata sumber itu lagi.
PR percaya peralihan lima peratus undi di empat kerusi Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan sudah cukup untuk menggulingkan kerajaan negeri BN.
Jun lalu, pemimpin-pemimpin PR memberitahu The Malaysian Insider, kemenangan di Pilah, Kelawang, Lenggeng dan Linggi, yang dimenangi oleh BN dengan majoriti tipis pada 2008 akan membolehkan perikatan itu memperoleh majoriti tipis dalam Dewan Undangan Negeri yang menawarkan 36 kerusi.
BN menang di Pilah dengan 1,258 undi, Kelawang (1,167), Lenggeng (1,285) dan Linggi (1,575).
Bagaimanapun Kamarul enggan mengulas perkara itu dengan berkata, “belum diputuskan dan belum dimuktamadkan lagi.”
“Saya tidak ada kerusi negeri, perkara itu tidak timbul,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun Kamarul berkata, PR akan melancarkan manifesto peringkat negeri di Negeri Sembilan bulan depan.
“Kemungkinan anda akan mendapat gambaran sebenar mengenai rancangan PR (bagi Negeri Sembilan),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan