Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pasukan keselamatan
percaya jumlah militan yang berkubu di Kampung Tanjung Batu kini kurang
daripada 50 orang.
Beliau berkata pasukan keselamatan juga tidak menghiraukan pengumuman
Jamalul Kiram yang disiar media Filipina bahawa kumpulan pengganas itu
akan melancarkan perang gerila ke atas Malaysia.
“Jamalul Kiram boleh cakap apa saja. Kami akan tentang mereka
habis-habisan,” katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu
Divisyen Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di
Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.
Hamza berkata dua pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan dan
kumpulan pengganas pada hari ke-14 Operasi Daulat iaitu pada 8.05 pagi
dan 9.45 pagi.
Menjawab pertanyaan wartawan stesen televisyen Filipina GMA 7
mengenai pasukan keselamatan mengambil kesempatan ke atas pengganas
setelah Jamalul Kiram mengumumkan gencatan senjata, Hamza berkata
pengganas terlebih dahulu menyerang dan membunuh dua anggota polis serta
mencederakan tiga lagi dalam pertempuran di Kampung Tanduo, dekat sini 1
Mac lepas.
“Kami tidak akan hormati kata Jamalul Kiram kerana pengikutnya
menembak mati dua anggota polis, sedangkan sehari sebelum itu beliau
umum gencatan senjata,” katanya.
Hamza turut memberitahu bahawa Malaysia dan Filipina sedang berunding
berhubung tuntutan mayat 28 pengganas yang ditembak mati dalam insiden
pencerobohan itu.
Sementara itu, Ahmad Zaki berkata 12 kereta kebal berantai jenis
Adnan milik tentera darat tiba di Felda Sahabat untuk membantu
mengukuhkan pertahanan dan membanteras pengganas di Kampung Tanjung
Batu.
“Kereta perisai itu juga bertujuan untuk memberi perlindungan yang
lebih efektif kepada pasukan keselamatan dalam menggeledah kawasan dan
mendominasi kawasan,” katanya.
Di KUALA LUMPUR, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd
Zin berkata pasukan keselamatan yakin operasi pembersihan di Kampung
Tanjung Batu akan selesai dalam masa dua atau tiga hari lagi sebelum
penduduk dibenar pulang ke rumah masing-masing.
“Operasi di Sungai Nyamuk dan Kampung Tanduo telah selesai dan kini
dalam peringkat menentukan kerosakan yang dialami penduduk kampung,”
katanya kepada pemberita di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Mengenai tempoh Operasi Daulat, Zulkifeli berkata pasukan keselamatan
tidak dapat memberi jangka waktu bila operasi itu akan berakhir. —
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan