February 16, 2011
KUALA LUMPUR, 16 Feb — Putrajaya dan kerajaan negeri Sabah telah memutuskan untuk membatalkan projek loji elektrik di Lahad Datu, yang bersumberkan arang batu susulan bantahan aktivis alam sekitar sejak lebih tiga tahun lalu. Mengumumkan perkara itu menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, kedua-dua kerajaan negeri dan pusat telah bersetuju untuk meneruskan usaha mencari sumber tenaga alternatif khususnya gas bagi memenuhi bekalan elektrik bagi negeri itu.
Pencinta alam seperti kumpulan Green Surf membantah penggunaan arang batu, yang dianggap tenaga kotor, dan telah berulang kali meminta kerajaan membatalkan rancangan membina loji kuasa arang batu itu.
Kerajaan mengenal pasti Felda Sahabat di Tungku dekat Lahad Datu sebagai lokasi loji 300 megawatt.
“Bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Sabah, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada PM yang bukan sahaja mendengar keperluan bekalan elektrik tetapi juga menunjukkan keprihatinan berhubung alam sekitar,” kata beliau.
TNB dan anak syarikatnya, Sabah Electricity Sdn. Bhd. telah melobi bagi pihak Lahad Datu Energy Sdn Bhd, sebuah syarikat Pembekal Tenaga Persendirian untuk membina stesen jana kuasa elektrik arang batu berkapasiti 300 megawatt di Sabah sejak 2007.
Laporan sebelum ini menyebut cadangan pembinaan stesen jana kuasa elektrik arang batu yang pada mulanya ditetapkan di Lahad Datu kemudian dipindahkan ke Sandakan, dimana tapak yang dicadangkan untuk membina stesen tersebut telah menimbulkan kontroversi di kalangan badan-badan bukan kerajaan dan para aktivis kerana antara lain ia dikatakan terlalu berhampiran dengan Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok.
Pada Ogos lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memutuskan untuk menolak laporan terperinci penilaian kesan alam sekitar berhubung cadangan loji tenaga berasaskan arang batu di Lahad Datu.
Pada September 2009, Perdana Menteri Datuk Najib Razak berkata Felda Sahabat di Lahad Datu telah dikenal pasti sebagai tapak cadangan bagi pembinaan projek loji tenaga berasaskan arang batu 300 megawatt.
Pada masa ini, kapasiti bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah adalah 200 megawatt dari loji tenaga berasaskan diesel.
Green Surf telah memprotes berhubung pembinaan loji tenaga itu yang disifatkan sebagai tenaga “kotor” dan meminta kerajaan supaya membatalkan projek itu.
Musa berkata Najib memahami bahawa sementara negara perlu membina bekalan elektrik di Sabah, ia tidak boleh dilakukan atas “kos kebajikan rakyat dan alam sekitar.”
“Sementara Sabah perlu meningkatkan bekalan tenaga untuk memenuhi peningkatan pembangunan, negeri tidak boleh menyebabkan risiko ke atas alam semula jadi,” katanya lagi.
Musa berkata, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab pihaknya mahu meletakkan keutamaan bagi melindungi alam sekitar demi kebaikan rakyat.
“Kita juga mesti melindungi alam sekitar khususnya ia salah satu sumber tarikan pelancong di Sabah,” katanya.
“Saya tahu ada bantahan terhadap cadangan terhadap loji menggunakan arang batu. Hari ini adalah bukti bantahan-bantahan sedemikian didengar (oleh kerajaan),” kata ketua menteri lagi.
“Kerajaan BN di bawah kepimpinan PM adalah sebuah kerajaan yang mendengar kepada rakyat dan mempunyai iltizam politik agar tidak membawa arang batu ke Sabah.
“Pendekatan kami ke arah pembangunan adalah yang bersifat seimbang dan berkekalan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Musa berkata keputusan itu dibuat baru-baru ini pada mesyuarat Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) yang dipengerusikan oleh Najib sendiri.
“Saya sedar bahawa terdapat bantahan terhadap cadangan pembinaan loji arang batu. Pada hari ini, terbukti bahawa segala bantahan tersebut telah diberi perhatian yang sewajarnya.”
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri adalah kerajaan yang sentiasa mendengar suara dan merasai denyutan nadi rakyat. Kita mempunyai keazaman dan iltizam politik yang tinggi dalam membuat keputusan yang bukan mudah, iaitu untuk tidak membina loji arang batu di Sabah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri hari ini.
Dalam hubungan ini, kerajaan negeri dan Persekutuan, yang menyedari masalah kekurangan tenaga di Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur, bersetuju menggunakan gas asli cecair (LNG) bagi menjana tenaga di negeri ini.
“Sekarang ini, Perdana Menteri telah mengarahkan TNB, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Petronas untuk berbincang bagi menghasilkan rumusan yang terbaik bagi menggunakan LNG. Caranya kita akan bincang secara lebih terperinci.”
“Saya berharap mereka boleh membuat keputusan secepat mungkin agar rakyat Sabah tidak berhadapan masalah berkenaan dengan tenaga. Walau pun LNG mungkin lebih mahal, kerajaan BN akan terus melaksanakannya demi kebaikan rakyat, selaras dengan slogan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” kata Musa.
--MI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan