KUALA LUMPUR: Seorang ahli kimia mengenepikan sebarang kemungkinan pencemaran ke atas satu tuala kecil yang diserahkan kepadanya oleh pegawai penyiasat Deputi Supritendan Judy Blacious Pereira yang boleh menyebabkan kehadiran profil DNA lain selain daripada "lelaki Y".
Nor Aidora Saedon tidak bersetuju dengan peguam bela Ram Karpal Singh dan tetap dengan pendirian mengenai apa yang ditemuinya bahawa ia hanya satu profil DNA yang ditemui pada tuala itu.
"Tidak ada kemungkinan seperti itu memandangkan semua jaminan kualiti telah ada di makmal kami dan analisis saya mengenai eksibit ini telah mengenepikan sebarang kemungkinan campuran profil-profil DNA pada tuala itu," kata Nor Aidora.
Saksi itu juga tidak bersetuju berhubung kehadiran "alel 18" pada graf elektroferogram yang tidak sepadan dengan profil DNA, sama ada kepunyaan Mohd Saiful, "lelaki Y" atau orang yang tidak dikenali, menandakan kehadiran profil kepunyaan orang lain.
Ram berhujah malah alel 18 wujud semasa pemeriksaan dijalankan oleh ahli kimia yang lain iaitu Dr Seah Lay Hong.
Alel adalah satu daripada dua atau lebih yang membentuk turutan DNA sesuatu gen tertentu. Setiap gen boleh mempunyai alel yang berbeza. Kadang kala, turutan DNA yang berbeza (alel) terjadi dalam pelbagai sifat, seperti warna.
Kadang-kadang, alel yang berbeza akan mempunyai keputusan yang sama dalam mengungkap sesuatu gen.
Nor Aidora, saksi keenam pendakwaan dari Jabatan Kimia menjelaskan bahawa sebagai ahli kimia, beliau perlu meneliti analisis lengkap sesuatu profil DNA secara keseluruhan, bukan hanya berdasarkan satu lokus bagi profil itu seperti yang disebut oleh peguam bela.
"Kamu tidak boleh hanya ambil satu lokus dan berkeras mengatakan mengenai kehadiran lebih daripada satu profil DNA dan alasan kamu mengenai pencemaran benar-benar tidak tepat," katanya.
Nor Aidora yang dihujani dengan soalan daripada Ram Karpal kemudiannya memberitahu peguam bela itu supaya merendahkan suaranya.
"Tolong jangan jerit, saya berada di sini untuk membantu mahkamah," kata saksi itu.
Anwar, 63, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Menjawab soalan lain sama ada beliau menjalankan profil padanan dengan staf lain yang bekerja di makmalnya, Nor Aidora berkata protokol dan prosedur dalam jabatannya tidak pernah ditolak ansur.
Pada satu peringkat, Nor Aidora menoleh ke arah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan bertanya sama ada beliau mengikuti apa yang dijelaskannya mengenai cara beliau menjalankan analisis DNA itu dan kemungkinan padanan DNA.
"Kamu tidak perlu bimbang tentang saya, kamu teruskan," kata Mohamad Zabidin sambil tersenyum.
Ram Karpal juga terus mengulangi pertanyaan mengenai kemungkinan pencemaran sampel-sampel yang diserahkan kepadanya oleh DSP Judy, Nor Aidora berkata profil-profil DNA yang diperolehinya dari calitan-calitan berada dalam keadaan baik.
Perbicaraan itu bersambung Isnin untuk pemeriksaan balas ke atas ASP Fauziah Che Mat yang menghasilkan cetakan imej tujuh kenderaan dan individu yang direkodkan dalam rakaman CCTV di kondominium Bukit Damansara itu di mana Mohd Saiful mendakwa beliau diliwat oleh Anwar. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan