Pengikut

AGUS SALIM VS UMNO

UCAPAN ANWAR DI TUARAN 29/7/2012

JALAN RAYA DI SABAH

INI KALILAH !!

KALAU BUKAN KITA SIAPA ? KALAU BUKAN SEKARANG BILA ?

Video tembak-menembak di Lahad Datu

Isnin, 7 Februari 2011

PERLEMBAGAAN SELANGOR TETAP DIPINDA JIKA CUKUP MAJORITI


February 06, 2011
Faekah Husin
KUALA LUMPUR, 6 Feb — Pakatan Rakyat (PR) akan meminda perlembagaan Selangor untuk mengembalikan kuasa dalam urusan pelantikan perkhidmatan awam negeri itu jika ia memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum kelak, kata seorang pegawai kanannya.
Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar) berkata janji untuk memulihkan kuasa pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan negeri kini dijadikan sebahagian daripada kempen PR Selangor menjelang pilihan raya umum ke-13.
“Bagi saya, Umno sudah hilang momentum mereka,” kata Faekah kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual eksklusif.
Tegas beliau, Umno dan Barisan Nasional (BN) telah diberi satu peluang untuk membuktikan mereka benar-benar sokong institusi diraja.
“Tetapi mereka enggan,” kata Faekah lagi.
Ketika membentangkan usul pindaan perlembagaan 24 Januari lalu, Khalid melabelkan BN sebenarnya penderhaka kepada institusi raja-raja.
Sambil merujuk kepada krisis Perlembagaan 1993, Khalid mendakwa kerajaan persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu telah melakukan pindaan yang telah menghakis kuasa-kuasa institusi raja-raja.
“Derhakakah kami jika kami mahu mengembalikan kedaulatan negeri dan baginda Sultan (Selangor) yang memerintah negeri yang berdaulat ini?
“Derhakakah mereka (Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari BN) jika mereka menolak atau lari daripada menerima usul pindaan ini?, katanya ketika membentangkan cadangan pindaan Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 pada sidang khas Dewan Undangan Negeri akhir bulan lalu.
Pindaan itu bagi mengembalikan kuasa Sultan dan menteri besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri yang kini di bawah kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkaitan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Kata Khalid, pindaan itu dicadangkan kerana jika pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri tidak dilakukan dengan telus, ia boleh diputarbelitkan oleh banyak pihak.
Pelantikan itu boleh diputarbelitkan sama ada oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kerajaan di Istana dan di Pejabat Menteri Besar atau perkhidmatan awam, katanya.
Khalid berkata tindakan kerajaan persekutuan menerusi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan melantik Pegawai Eksekutif Ex-Officio dengan membelakangkan menteri besar yang dipilih rakyat lantas berselindung pula di sebalik Istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah, menghina kebijaksanaan dan kedaulatan negeri.
Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas oleh BN Selangor yang mendakwa PR sebenarnya yang menderhaka.
Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi oleh SPA mendapat bantahan kerajaan negeri Selangor yang memberi alasan ia dibuat tanpa merujuk kepada Khalid.
Khalid akan mengadakan pertemuan dengan Khusrin esok berhubung kedudukannya.
Faekah juga mendakwa Umno, selaku parti teras BN telah merompak kuasa pelantikan tiga pegawai kanan terbabit daripada Sultan Selangor pada 1993.
“Artikel 52(1) dipinda pada 1993. Tiada sebab untuk meminda ketika itu memandangkan isu ketika itu adalah imuniti Raja-raja Melayu,” kata Faekah yang lulusan jurusan undang-undang.
“Jadi, kami akan memulihkan (perkara itu). Ia peluang bagi kami kembali kepada rakyat,” kata Faekah.
Selepas sidang khas bulan lalu, Khalid mengumumkan bahawa kempen PR akan mendedahkan hipokrasi Umno dan ia akan diadakan di seluruh negara.
Timbalan pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar sebelum ini memberitahu pihaknya akan mendedahkan kepada rakyat bahawa PKR yang tidak menghormati Sultan dan berniat untuk merampas kuasa raja.
Bagaimanapun Faekah menegaskan, keputusan Umno untuk tidak memberi undi sokongan kepada usul tempoh hari dengan sendirinya telah mengetepikan hak mereka untuk menyokong institusi diraja.
Setiausaha politik berusia 46 tahun ini yakin kempen PR akan menarik sokongan kelak.
“Rakyat mahukan negeri ini diurus secara profesional. Rakyat masa sekarang bijak,” kata Faekah.
Beliau juga menekankan, PR tidak berhasrat mahu mengembalikan kuasa mutlak pelantikan kepada negeri.
“Tujuan utama ialah untuk menekankan soal (keperluan) perundingan antara tiga pihak: JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), Sultan dan menteri besar,” kata Faekah.
“Tidak harus ada mana-mana pihak bertindak secara veto (dalam hal ini),” kata beliau.

Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan